GEORGE TOWN – Seorang tukang cuci di kompleks kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini terpaksa menerima hakikat apabila kaki kanannya dipotong setelah hancur digilis sebuah trak angkat susun atau forklift semalam.
Mangsa, Jami@Jumi Shariff, 74, kini ditempat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas pembedahan ke atasnya dikatakan selesai dilakukan selama hampir enam jam awal pagi tadi.
Adiknya, Musa Shariff, 69, berkata, kakak kedua daripada empat beradik itu kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan direhatkan sementara selepas kaki kanannya dikatakan terpaksa dipotong hingga bawah lutut.
Menurutnya, dia tidak sampai hati melihat keadaan kaki kakaknya yang hancur selain kaki kirinya turut mengalami kecederaan parah semasa ditemui di hospital semalam.
“Sedih tengok kakak dalam keadaan mengerang sakit. Dia seorang yang ceria dan dikatakan sudah bekerja di situ lebih 10 tahun lalu. Kami adik-beradik memang rapat.
“Saya memang tidak sangka kejadian berlaku dan apatah lagi melihat video kejadian itu yang tular semalam (kelmarin),” katanya kepada Kosmo! di sini tadi.
Musa memberitahu lagi, kakaknya yang menetap di Sungai Burung, Balik Pulau akan ke tempat kerja pada pukul 8 pagi dengan membonceng motosikal bersama suaminya, Marzuki Omar, 68.
Kejadian yang dikatakan berlaku pada pukul 12 tengah hari itu turut tular di media sosial sejak petang semalam. – KOSMO! ONLINE