SEBERANG PERAI – Hampir 100 penghantar makanan berkumpul di hadapan pejabat pengurusan syarikat itu di Jalan Baru, Bukit Mertajam di sini, bagi menyatakan bantahan terhadap sistem atau peraturan baharu yang dianggap membebankan mereka.
Antaranya berkaitan isu pembayaran untuk penghantaran yang didakwa dibuat tidak seperti yang dijanjikan selain zon pembesaran kawasan bekerja oleh syarikat berkenaan yang dianggap tidak selari dan boleh mengelirukan kumpulan penghantar makanan.
Wakil kumpulan penghantar makanan itu, Mohd. Zulhizri Zulkifli, 33, berkata, sebagai contoh, sistem pembayaran oleh syarikat itu kepada mereka ketika ini sering berubah-ubah tanpa sebarang pemberitahuan maklumat secara terperinci.
Lebih mengecewakan katanya, sistem pengiraan jarak kilometer dari aplikasi syarikat itu juga tidak mengikut jarak sebenar seperti yang terdapat di aplikasi Google Maps selain jumlah pembayaran dari lokasi semasa ke lokasi pengambilan makanan yang sangat rendah.
“Isu ini sebenarnya telah bermula sejak tahun lepas, namun sehingga kini ia masih belum berjaya diselesaikan oleh pihak HQ (ibu pejabat) hingga ke hari ini. Jadi, kami mohon agar mereka dapat menyemak dan membuat keputusan yang adil.
“Kami datang secara baik untuk berjumpa pihak pengurusan, berdemo secara aman dan tidak membuat sebarang rusuhan pun kerana rata-rata kami masih lagi ingin berkhidmat dengan mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE