KUALA PERLIS – Seorang pemuda dikhuatiri lemas selepas perahu yang dikemudinya merempuh sebuah bot nelayan di Kampung Bahagia, Seberang Tok Pi di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa dikenali sebagai Mohd. Amin Rahim, 28, dilaporkan hilang selepas perahu tersebut karam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Perlis bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima laporan mengenai kejadian lemas itu
“Mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan pada pukul 7 malam tadi dan akan disambung semula pada esok pagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, menurut seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Khiew, 40-an berkata, dia ternampak sebuah perahu kecil datang dari arah hulu Sungai Perlis.
“Perahu kecil dinaiki mangsa itu kemudian merempuh bahagian belakang sebuah bot nelayan yang berlabuh di tambatan kemudian berpusing-pusing sebelum karam berdekatan lokasi rempuhan tapi tak pasti sama ada mangsa cedera atau tidak akibat pertembungan itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE