PETALING JAYA- Video tular pemandu kereta jenis Proton Saga mengisi minyak sebelum merempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Exora di sebuah stesen minyak mencuri perhatian ramai.
Video yang dimuat naik @Hafizahabuhassan itu telah mencuri perhatian warga TikTok di samping mendapat 25,000 tanda suka.
Menerusi video yang dikongsinya, pemandu kereta Saga berkenaan didakwa ‘tingtong’ ketika mengisi minyak kenderaannya di sebuah stesen minyak sekitar Damansara Damai.
“Dugaan hari ini dekat Caltex Damansara Damai. Nampak pemandu kereta merah macam ‘tingtong’ tiba-tiba melanggar kereta kami,” tulisnya dalam video berkenaan.
Dalam pada itu, ramai pengguna mula membuat spekulasi sendiri rentetan pemilik video berkenaan tidak menceritakan secara lebih jelas mengenai insiden berkenaan.
“Disebabkan hal sebegini, kalau isi minyak kena matikan enjin. Tak faham aku jenis orang yang tak matikan enjin. Papan tanda pun ada letak,” komen @Allin1shop.
“Kereta jenis auto bahaya, manual kalau tak tekan ‘clutch’ memang tak akan bergerak. Kereta auto pijak sahaja terus bergerak,” kata @Rockkapak.
“Sumpah bahaya! Macam mana boleh jadi macam ni, tak faham. Bahayakan keselamatan orang lain,” tulis @NajihahElias.
Menerusi video berlainan, pemilik video berkenaan turut berkongsi keadaan keretanya yang kemek teruk akibat dirempuh kereta Saga berkenaan.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku dan semua yang terlibat dalam insiden berkenaan dilaporkan selamat. -KOSMO! ONLINE.