fbpx

Pemain negara bakal terima sentuhan legenda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Lee Chong Wei antara legenda badminton tanah air yang akan berperanan memberi tunjuk ajar kepada pemain-pemain negara.

KUALA LUMPUR – Barisan legenda badminton tanah air dijangka ‘turun padang’ bagi memberikan latihan serta bimbingan dalam usaha meningkatkan prestasi pemain-pemain negara, terutamanya menjelang kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 yang bermula Mei depan.

Perkara itu merupakan sebahagian usul dicadangkan dalam mesyuarat pertama Panel Penasihat Teknikal Akademi Badminton Malaysia (ABM) yang berlangsung hari ini dan ia bakal direalisasikan dalam masa terdekat.

Sekiranya berjalan seperti dirancang, ini bermakna pemain-pemain kebangsaan berpeluang mendapat sentuhan legenda seperti Datuk Lee Chong Wei, Ong Ewe Hock dan Muhammad Roslin dalam acara perseorangan manakala beregu akan menerima tunjuk ajar Datuk Cheah Soon Kit, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, barisan bekas pemain itu akan bekerjasama dengan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan dan Beregu ABM, iaitu Wong Choong Hann dan Rexy Mainaky dalam usaha mencari kaedah terbaik.

“Antara perkara yang kita telah bersetuju adalah barisan legenda ini diberikan peranan sebagai mentor, contohnya Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong, mereka merupakan legenda dalam acara beregu lelaki, jadi mereka akan menolong untuk acara itu melalui persetujuan Rexy.

“Begitu juga dengan acara perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei, Ewe Hock dan Roslin akan bekerjasama dengan Choong Hann dan saya katakan kepada mereka semua, ini tanggungjawab bersama untuk mendapatkan keputusan terbaik buat negara,” katanya.

Pada masa sama, beliau percaya kehadiran jaguh-jaguh badminton tanah air itu mampu menyelesaikan masalah keyakinan diri yang sering dihadapi pemain-pemain negara sejak kebelakangan ini.

“Bermula Mei ini hingga April tahun hadapan adalah tempoh sangat penting buat badminton negara kerana kelayakan Sukan Olimpik sudah bermula, jadi barisan legenda ini boleh membantu kami.

“Kadang-kadang pemain kita berdepan masalah keyakinan diri, jadi kehadiran legenda ini mungkin akan membuatkan mereka lebih selesa untuk berbicara kerana mereka sebenarnya takut untuk meluahkan apa yang terbuku di hati kepada saya sebagai Presiden atau jurulatih mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamad Norza juga tidak menolak kemungkinan untuk melantik bekas-bekas pemain itu sebagai pengurus skuad negara bagi menghadapi kejohanan-kejohanan penting pada masa akan datang termasuk saingan Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China Mei nanti.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada kepada jadual serta komitmen mereka memandangkan kehadiran jaguh-jaguh tersebut di ABM adalah secara pro-bono selain tidak terlibat dengan sesi pemilihan pemain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI