fbpx

Liga Super: PDRM FC, Perak FC sama kuat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN PDRM, Amir Saiful Badeli (kanan), diasak pemain Perak, Muhammad Fadhil Idris pada aksi Liga Super 2023 yang berakhir 0-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi. - SHIDDIEQIIN ZON

PETALING JAYA – Hasrat PDRM FC dan Perak FC untuk mencari kemenangan moral pada saingan Liga Super tidak kesampaian apabila kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Ketika The Cops mempertaruhkan empat import dalam kesebelasan utama, Perak FC pula hanya menyenaraikan seorang pemain asing, Seo Seonung di posisi serangan.

Walaupun dibarisi majoriti pemain bawah 23 tahun, The Bos Gaurus jelas memulakan perlawanan dengan lebih baik, menyaksikan Seonung terlebih dulu menguji benteng tuan rumah namun rembatan derasnya pada minit ke-9 berjaya dihalang oleh penjaga gol PDRM FC, Ramadhan Ab Hamid.

Selepas itu, The Bos Gaurus memperoleh sekurang-kurangnya dua lagi peluang terbaik namun kesempatan pada minit ke-22 dan 33 itu gagal disudahkan dengan lebih sempurna oleh Hadi Fayyadh Abd Razak dan Fahmi Daniel Zaim.

Minit ke-42, tonggak import The Cops, Bruno Suzuki berjaya melakukan lencongan menarik yang menewaskan penjaga gol lawan, Tian Keat See sebaliknya bola tolakannya sekadar singgah di palang gol sekaligus memaksa 45 minit pertama berakhir tanpa jaringan.

Tiga belas minit selepas aksi bersambung, kesilapan Keat See yang teragak-agak hampir mengundang padah namun Perak FC bernasib baik apabila percubaan Suzuki tidak menepati sasaran.

Aspek penyudah jelas menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan mencari gol pembukaan dan kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Pada aksi pertama sebelum ini, kedua-dua pasukan tewas besar, Perak kalah 4-1 kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) manakala PDRM FC dibelasah Sabah 4-0. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI