PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. bagi membincangkan isu serantau dan antarabangsa dalam lawatan rasmi dua hari beliau ke negara tersebut bermula esok.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata, pertemuan tersebut juga akan membincangkan tentang pelbagai perkara termasuk keselamatan, pertanian, industri halal dan ekonomi digital selain isu serantau serta antarabangsa yang ada kepentingan bersama.
“Perdana Menteri juga dijadual menyampaikan syarahan umum bertajuk ’30 Tahun Selepas Gelombang Kebangkitan Asia: Pengajaran Strategik Buat ASEAN’ di Universiti Filipina.
“Beliau seperti kelaziman apabila membuat sesi lawatan rasmi ke luar negara, akan mengadakan acara pertemuan dengan diaspora Malaysia di Filipina,” kata kenyataan itu hari ini.
Jelas Wisma Putra, Perdana Menteri akan diiringi isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Tambah Wisma Putra, lawatan tersebut mencerminkan hubungan akrab antara Malaysia dan Filipina selaku jiran rapat serta negara anggota ASEAN dan membuka peluang memperkasa jaringan kerjasama.
Hubungan kedua-dua negara serantau tersebut ujarnya, tetap teguh bertunjangkan misi kepentingan bersama, peningkatan kerjasama ekonomi, politik dan jalinan antara rakyat. – KOSMO! ONLINE