JOHOR BAHRU – Pasukan pelayang Johor mencipta rekod baharu apabila muncul juara keseluruhan Pertandingan Wau Peringkat Kebangsaan di Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) ke-25 yang berakhir kelmarin.
Yang Dipertua Persatuan Pelayang Johor, Hasrin Kamal Hashim berkata, pihaknya amat teruja dengan kemenangan yang pertama kali diraih pihaknya sepanjang 25 tahun penganjuran festival bertaraf antarabangsa itu.
“Alhamdulillah, tidak sangka Johor berjaya muncul juara untuk FLLSPG tahun ini. Johor sudah banyak kali sertai pertandingan ini, tetapi tidak pernah muncul juara.
“Ini pertama kali dalam sejarah apabila kejayaan ini diraih, sangat terharu,” katanya selepas Johor diumumkan sebagai juara keseluruhan dalam Majlis Perasmian Penutup FLLSPG ke-25 yang diadakan di Amansari Resort, Bandar Seri Alam di sini malam kelmarin.
Hadir sama Presiden Majlis Pelayang Malaysia, Datuk A. Rahim Nin.
Pelayang Johor muncul juara selepas mengutip 56 mata, menewaskan pelayang Kedah yang mengutip 39 mata, manakala pelayang Kelantan di tempat ketiga dengan kutipan 34 mata.
A. Rahim turut memberitahu, penganjuran FLLSPG ke-25 yang bermula Khamis lalu itu mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja daripada masyarakat tempatan, malah pelancong
asing.
“Penganjuran semula FLLSPG selepas terhenti akibat pandemik Covid-19 selama dua tahun lalu telah berjaya meletakkan Pasir Gudang khususnya sebagai satu destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa,” katanya.
FLLSPG yang berlangsung selama empat hari di Bukit Layang-Layang Pasir Gudang telah berjaya menarik kehadiran lebih 300,000 pengunjung domestik dan antarabangsa.
Selain pertunjukan layang-layang, pelbagai aktiviti lain turut diadakan termasuklah acara menaikkan 25 wau tradisional Malaysia oleh peserta antarabangsa yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records.
FLLSPG ke-25 dianjurkan MPM dengan kerjasama Persatuan Pelayang Johor; Majlis Bandaraya Pasir Gudang; Tourism Johor dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Johor.