TEMPOH sembilan tahun bukan satu jangka masa singkat untuk penyanyi juga pensyarah, Dr. Fitri Haris merealisasikan impiannya.
Banyak tenaga, masa dan wang ringgit dicurahkan demi melihat sebuah naskhah ilmiah tentang kecintaannya dapat dizahirkan
Menurut, anggota kumpulan nasyid UNIC itu , minat mendalam terhadap bidang muzik membuatkan dia sanggup mengambil masa hingga sembilan tahun untuk menghasilkan buku berkaitan irama nasyid dan muzik Islam.
Lalu, tanggal 7 Februari lalu menjadi detik istimewa buat Fitri apabila akhirnya impian untuk menghasilkan sebuah buku tentang muzik Islam terhasil dengan lahirnya naskhah bertajuk Popular Music: Islamic Popular Music in Malaysia.
Jelas Fitri, penghasilan buku berkenaan melibatkan lebih 45 penggiat industri muzik di Malaysia dalam pelbagai latar belakang muzik.
“Saya mengambil masa selama sembilan tahun, termasuk dua tahun untuk proses suntingan dan pembetulan.
“Alhamdulillah saya bersyukur sebab tidak pernah terlintas atau timbul rasa putus asa.
“Kalau ada sekali pun, saya akan cari jalan penyelesaian. Mungkin sebab saya dikelilingi dengan insan yang tepat dan beri saya semangat,” jelasnya.
Kongsi pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia (UUM) itu lagi, buku berkenaan diterbitkan dalam bahasa Inggeris kerana tidak mahu terikat golongan tertentu sahaja.
Eksklusif
“Kenapa saya hasilkan dalam bahasa Inggeris kerana saya mahu capai sasaran pembaca global.
“Saya tidak mahu hadkan pembaca saya untuk golongan tertentu sahaja. Sesiapa sahaja termasuk mereka yang bukan beragama Islam juga boleh membaca buku saya.
“Saya mahu muzik nasyid ini bebas dan tidak terikat.
“Saya buat perkara yang saya minat dan saya memang seorang penyanyi nasyid. Jadi tidak adil kalau saya kedekut untuk berkongsi pengetahuan yang saya ada,” jelasnya.
Bercerita lanjut, Fitri menegaskan mahu memberi penekanan terhadap muzik Islam, terutamanya nasyid supaya tidak menjadi karya eksklusif untuk orang Islam sahaja.
“Kita tak nak bila sebut nasyid, muzik itu terikat dengan jurusan syariah atau fiqh yang perlu belajar tentang hukum hakam.
“Sedangkan perkara itu sudah jelas dan sepatutnya muzik Islam ini dipelajari di Fakulti Muzik supaya golongan bukan Islam juga boleh turut sama belajar,” katanya.
Mengulas lanjut, Fitri berkata, karya ilmiah itu merupakan buku etnomusikologi komprehensif pertama di dunia yang memberikan kajian mendalam tentang kesan sosiologi dan antropologi muzik popular Islam di Malaysia.
“Saya berasa terpanggil membuat kajian mengenai topik tersebut selepas ramai ilmuan luar beranggapan tiada muzik dalam Islam.
“Untuk kajian ini, saya pernah berbalah selama satu jam dengan pakar muzik bukan Islam berhubung fakta tentang tarannum yang turut diselitkan dalam buku itu,” jelasnya.
Ketika majlis perasmian yang diadakan di UUM cawangan Kuala Lumpur baru-baru ini, peluncuran buku setebal 339 muka surat itu dirasmikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Martadha.
Fitri memanjatkan rasa syukur selepas impiannya untuk memiliki sebuah buku yang ditulis sendiri tercapai dan amat berterima kasih pada pihak yang banyak memberi sokongan kepadanya.
“Saya bersyukur sebab tidak berputus asa dan setiap masalah yang dihadapi akan cuba diselesaikan dengan jalan terbaik.
“Saya juga bersyukur kerana dikelilingi individu yang positif serta isteri yang memberikan sokongan,” katanya.