fbpx

Cuba Aman Nassim bawa gelombang baharu, guna model ‘awek’ Korea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMAN NASSIM kini muncul dengan single baharu yang mengetengahkan 'vib dan semangat baharu untuk industri muzik tanah air.

CINTA Aman Nassim terhadap muzik dan nyanyian tidak pernah padam biarpun sudah berglar pemilik syarikat rakaman COF Music.

Keputusan berani lelaki yang memulakan langkah seni menerusi lakonan berhasil apabila menerusi syarikat sendiri, dia sudah berjaya menghasilkan empat buah single.

Karya berjudul Cinta Terakhir yang dilancarkan pada 2021 mendapat sentuhan komposer terkenal Indonesia iaitu Bemby Noor dan dirinya sendiri.

Melihatkan sambutan baik yang diterima terhadap setiap karya dihasilkan, pemilik nama sebenar Abd. Rahman Nassim, 34, kini muncul dengan single terbaharu berjudul Cuba yang dilancarkan secara rasmi hari ini (24 Febnruari). Lagu ini adalah ciptaan sepenuhnya oleh Arif Peter, Kon, Jack Jafni, Pown Hasril dan Aman Nassim.

Aman menyifatkan lagu bergenre pop tersebut sebagai sebuah naskhah yang mudah didengar, diterima dan menangkap halwa telinga.

“Lagu ini sudah disiapkan sejak November tahun lalu lagi. Lagu ini ‘easy listening’ dan ‘sweet song’. Lagu ini sesuai untuk mereka yang bercinta. Saya mahu mereka mendengar dan menghayati lirik disampaikan. Pendek kata, lagu ini sangat mudah dan ‘straight forward’.

“Saya sengaja menghasilkan single yang simple tapi ‘sweet’ sebab nak orang selesa mendengar dan mudah memahami lirik yang nak disampaikan dalam lagu ini. Saya nak mereka yang mendengar, baik yang sedang bercinta atau tidak lebih ‘enjoy’.

 “Bagi saya, tak semestinya lagu berat itu saja diterima, tapi lagu yang ringan dan ‘simple’ pun boleh. Konsep itu berdasarkan pemerhatian saya dalam pasaran muzik tempatan hari ini. Apa saya perasan, hari ini pendengar dan pencinta muzik sukakan lagu-lagu yang ‘simple’ tapi sedap dan mudah diterima. Itu yang saya ingin sampaikan dalam lagu Cuba ini,” katanya.

Aman berkata, lagu Cuba juga adalah sebuah karya yang mengetengahkan ‘new vibes’ dan ‘new soul’ (semangat baharu) yang tidak pernah ada dalam pasaran muzik di Malaysia.

“Apa saya boleh katakan, single Cuba ini sebuah lagu yang baru dalam pasaran muzik tempatan. Selepas saya bagi dengar beberapa orang, mereka cakap lagu ini sangat berbeza selain ‘new vibes’ dan ‘new soul’. Boleh dikatakan, lagu ini tak ada lagi dalam pasaran Malaysia.

“Dalam masa sama, saya nak menyesuaikan lagu ini dengan vokal juga. Sebelum ini kebanyakan lagu saya adalah bergenre pop balada. Jadi, untuk single Cuba ini saya mencuba sesuatu yang lain. Insya-Allah, saya yakin lagu ini akan berjaya dalam pasaran,” katanya.

Malah, apa yang lebih penting bagi Aman juga adalah, single Cuba itu mampu diterima baik pencinta muzik tempatan.

“Niat saya, dari segi vokal nak lebih selesa ketika menyanyi. Single ini juga memperdengarkan kematangan vokal saya. Alhamdulillah, apabila lagu ini siap, saya gembira sebab ia muzik lagu ini sangat segar untuk industri kita.Boleh dikatakan, ia juga nafas baru untuk industri muzik.

“Saya nak orang ‘enjoy. Sambil dengar lagu ini, mereka tersenyum gembira. Itu saja harapan saya dan tak nak lebih-lebih,” katanya.

Menariknya juga, muzik video lagu Cuba dirakamkan di Korea serta turut menampilkan model dari negara kimchi itu.

“Kenapa Korea? Sebabnya, orang kita ramai yang meminati drama dan penyanyi Korea. Malah, kisah cinta penuh romantis Korea cukup membuatkan orang kita terbuai. Disebabkan itu, untuk MV lagu ini saya memilih lokasi penggambaran di Korea. Malah, saya juga menggunakan khidmat model wanita Korea. Saya nak peminat lebih ‘feel’ apabila mendengar lagu dan menonton MV ini.

“Kalau sebelum ini, MV lagu saya dibuat di Malaysia saja. Jadi, untuk single Cuba ini saya mahu memberikan kelainan dan sentuhan berbeza sedikit. Lagu ‘sweet’ dan MV pun romantik,” katanya.

Lagu Cuba yang dilancarkan secara rasmi pada hari ini (24 Februari) sudah boleh didengar dan dilanggan di semua platform digital muzik dan MV pula boleh ditonton di saluran YouTube COF Music. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI