PETALING JAYA: Acara larian IJM Allianz Duo Highway Challenge 2023 kembali menemui peserta tahun ini melibatkan dua lebuh raya utama di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Divisyen Tol IJM, Wan Salwani Wan Yusoff berkata, acara itu melibatkan dua larian iaitu Cabaran Lebuhraya Besraya yang berlangsung pada 21 Mei serta Cabaran Lebuhraya NPE pada 9 Julai ini.
Katanya, dianggarkan 15,000 peserta dijangka menyertai kedua-dua acara larian itu yang membabitkan 15 peratus peserta luar negara dan 85 peratus peserta tempatan.
“Sejak dianjurkan pada 2017, acara ini mendapat sambutan menggalakkan dengan jumlah peserta meningkat sehingga 2019. Setelah tiga tahun tidak dapat dianjurkan ekoran pandemik Covid-19, kini cabarannya kembali.
“Kami sangat teruja memberi peluang kepada para peserta untuk kembali beraksi di atas lebuh raya dan berharap ia menjadi acara larian yang dinanti-nantikan setiap tahun oleh peserta,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang berharap acara itu mampu menarik minat penggemar acara larian dalam memupuk semangat berdaya saing.
“Pada masa yang sama memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk kembali aktif dan mengambil bahagian serta menyahut cabaran yang unik ini demi kesihatan dan kesejahteraan mereka.
“Untuk Cabaran Lebuhraya Besraya, dua kategori ditawarkan iaitu terbuka enam kilometer (km) serta cabaran larian 13km yang membabitkan peserta mengikut kategori umur tertentu dengan tema ‘Conquer The Highway’.
“Cabaran Lebuhraya NPE pula menawarkan tiga kategori iaitu Fun Run 5km, 10km serta Cabaran Larian 21km dengan tema “’King of the Highway’,” katanya.
Pendaftaran kini dibuka dan boleh dilakukan di laman web http://www.ijmhighwayrun.com serta Facebook IJM Allianz Duo Highway Challenge.
Pendaftaran ditutup pada 16 April ini untuk Cabaran Lebuhraya Besraya dan 28 Mei ini untuk Cabaran Lebuhraya NPE. Terdapat harga early bird diberi kepada peserta yang mendaftar dalam masa dua minggu ini. – KOSMO! ONLINE