KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merakamkan percakapan seramai lapan individu berhubung kes penemuan naskah al-Quran di beberapa lokasi di Lembah Klang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya sedang menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan al-Quran dan mengaibkan agama.
“Kes ini juga turut disiasat mengikut Seksyen 298a Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian agama.
“Masyarakat dinasihatkan agar tidak gusar dan mengelak daripada membuat spekulasi kejadian yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pihak berkuasa sedang berusaha bagi memastikan pelaku dalam kejadian ini dikesan dan diambil tindakan.
Jelas beliau, PDRM dan agensi-agensi yang berkaitan akan sentiasa memantau dan mengambil tindakan bagi memastikan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia terpelihara.
“Dalam menjaga sensitiviti dan kesucian al-Quran, sekiranya terdapat mana-mana pihak yang ingin melupuskannya, sewajarnya mendapatkan nasihat daripada pihak jabatan agama islam tempatan.
“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung siasatan ini, boleh menghubungi balai polis yang berdekatan,” katanya.- KOSMO! ONLINE.