HONG KONG – Bekas suami dan mentua seorang model yang juga pempengaruh terkenal di Hong Kong hadir di mahkamah kelmarin atas dakwaan melakukan pembunuhan kejam terhadap mangsa, lapor portal berita MailOnline.
Model berkenaan, Abby Choi dibunuh dan dikerat dengan kakinya ditemui di dalam peti sejuk manakala tengkorak serta beberapa tulang rusuknya ditemui di dalam periuk masakan pada Ahad lalu di sebuah rumah tiga tingkat.
Bekas suami Choi, Alex Kwong dan bapanya, Kwong Kau serta saudara lelakinya, Anthony Kwong didakwa membunuh model itu.
Sementara itu, ibu Alex Kwong, Jenny Li menghadapi satu pertuduhan memutarbelitkan keadilan.
Beberapa gambar dikongsikan petang kelmarin menunjukkan salah seorang suspek lelaki dibawa ke mahkamah oleh polis dengan meletakkan beg hitam di atas kepalanya.
Keempat-empat mereka ditahan tanpa jaminan.
Choi, 28, ialah seorang model dan pempengaruh yang berkongsi kehidupan glamornya serta mempunyai lebih 100,000 pengikut di Instagram. – Agensi