SHAH ALAM – Sepasang kekasih memperoleh nasib berbeza apabila seorang daripadanya dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 157.39 gram, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhi hukuman itu terhadap tertuduh, Yee Zong Han, 31, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Zong Han yang merupakan bekas pengurus acara turut dijatuhi hukuman dua hingga tiga tahun bagi empat pertuduhan lain memiliki dadah ketamine dengan berat keseluruhan 231.57 gram (g) dan racun jenis Etizolam seberat 18.62g.
Mahkamah membenarkan hukuman penjara itu dijalankan serentak dari tarikh dia ditangkap pada 20 Ogos 2019.
Abdul Halim dalam penghakimannya memaklumkan asas keputusan hukuman itu adalah keterangan Zong Han adalah lebih bersifat penafian tanpa disokong bukti konkrit selain pembelaannya berubah-ubah.
“Tertuduh juga mempunyai pengetahuan (dadah itu) kerana merupakan penyewa kondominium. Jadi, tiada hukuman lain dalam seksyen tersebut selain hukuman mati,” tegasnya.
Sementara itu, Low Ee Leng, 29, yang juga bekas kerani akaun dilepas dan dibebaskan dari semua pertuduhan oleh mahkamah kerana berjaya membuktikan kes melampau keraguan munasabah.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama mengedarkan dadah MDMA seberat 157.39g dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (KK).
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.
Dua pertuduhan lain adalah juga secara bersama-sama memiliki dadah jenis ketamin masing-masing seberat 229.41g dan 2.16g seterusnya melakukan kesalahan dibawah Seksyen 12(2) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 KK.
Selain itu, mereka juga didakwa dua lagi pertuduhan dalam milikan bersama Etizolam dengan berat 15.08g serta 3.54g mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 30(5) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 KK.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Prima Selayang dekat sini pada pukul 11.50 malam, 20 Ogos lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat mengemukakan 13 saksi dan 76 eksibit sepanjang perbicaraan bermula Januari tahun lalu.
Pada prosiding pembelaan kedua-dua tertuduh memberikan keterangan di kandang saksi.
Zong Han diwakili Peguam Gooi Soon Seng dan Belinda Low Siet Yan sementara Ee Leng diwakili Peguam Kee Wei Lon serta Low Wei Loke. – KOSMO! ONLINE