PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan lebat beberapa negeri sehingga 1 dan 2 Mac ini.
Menurut MetMalaysia, hujan sangat lebat berterusan pada peringkat bahaya, dijangka berlaku di negeri Johor (Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru) sehingga Khamis ini.
Seterusnya, hujan lebat berterusan peringkat buruk diramal berlaku di negeri Pahang (Pekan dan Rompin) dan Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat dan Pontian) sehingga Khamis ini.
Sementara itu, hujan berterusan peringkat waspada dijangka berlaku di negeri Perak (Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Bera).
Katanya, cuaca sama dijangka di seluruh kawasan di Terengganu, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka.
Bagi negeri Sarawak, cuaca buruk diramal berlaku di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu (Tatau dan Bintulu) sehingga Rabu minggu hadapan. – KOSMO! ONLINE