ANKARA – Seorang terkorban dan puluhan lagi cedera apabila gempa bumi dengan kekuatan 5.6 magnitud melanda selatanTurkiye hari ini, kata agensi pengurusan bencana negara berkenaan.
Gempa bumi itu berpusat di bandar Yesilyurt, wilayah Malatya, kata agensi pengurusan bencana itu, AFAD .
Menurut Pusat Seisomologi Mediterranean Eropah (EASC), ia berlaku pada kedalaman 5 kilometer.
“Seorang warganegara kehilangan nyawanya. Kira-kira 69 orang cedera,” kata Yunus Sezer yang merupakan pengerusi AFAD dalam komennya di televisyen.
AFAD menulis di Twitter bahawa 29 bangunan yang terjejas akibat gempa bumi kuat pada 6 Februari lalu telah runtuh.
“Pasukan mencari dan menyelamat kami segera di hantar ke wilayah itu dan mula bekerja,” tambahnya.
Datuk Bandar Yesilyurt, Mehmet Cinar memberitahu televisyen HaberTurk bahawa beberapa bangunan telah runtuh di bandar itu.
Menurutnya, seorang bapa dan anak perempuannya terperangkap selepas mereka memasuki sebuah bangunan yang runtuh untuk mengambil barang-barang kepunyaan mereka.
Imej televisyen menunjukkan lelaki itu dibawa di atas pengusung memasuki ke dalam ambulans manakala pasukan penyelamat cuba menghubungi anak perempuannya yang berada di dalam bangunan yang runtuh itu
Malatya adalah antara 11 wilayah Turkiye yang dilanda gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang memusnahkan bahagian selatan negara tersebut dan utara Syria pada 6 Februari lalu.
Gempa bumi tersebut menyebabkan lebih 48,000 orang terkorban di kedua-dua negara itu. – Agensi