PASIR PUTEH – Persatuan Kebajikan Pengusaha Komoditi Malaysia (PKKM) menyasarkan satu juta peladang muda untuk menceburi sektor peladangan komoditi di negara ini dalam tempoh dua tahun akan datang.
Pengerusinya, Kameruzaman Ab. Rahman berkata, sektor yang melibatkan komoditi ketika ini dilihat dimonopoli oleh kebanyakan peladang yang terdiri daripada golongan warga emas.
Menurutnya, sehubungan itu, PKKM sedang menjalankan sesi jelajah untuk menarik penyertaan peladang, peniaga termasuk kumpulan profesional golongan muda ke dalam sektor komoditi seperti kelapa sawit, getah, lada hitam, kenaf, koko dan buluh.
“Sebagai langkah awal, kita akan mengumpul kira-kira 10,000 orang peladang muda di setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat.
“Program jelajah dijalankan bertujuan menyatukan pendokong sektor komoditi bagi mewujudkan kesepakatan dalam urusan kebajikan dan aktiviti ekonomi melalui ceramah berkait peladangan dalam industri tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Taklimat Program Pembangunan Ekonomi dan Bantuan Insentif Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) di Dewan Institut Latihan LKTN di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Kameruzaman berkata, PKKM merupakan pertubuhan berdaftar sejak dua tahun lalu menjalankan siri ceramah berkait industri komoditi, pemasaran berstrategik selain berusaha menyelesaikan krisis seperti kenaikan harga dedak.
“Kita merancang untuk menghasilkan dedak ternakan unggas dan ruminan yang berkualiti pada harga murah dengan menggunakan hasil pertanian tempatan termasuk daun sawit, sisa makanan terbuang termasuk hasil kenaf.
“Kaedah menggunakan teknologi Jepun itu mampu membantu meringankan bebanan penternak yang berdepan dengan kenaikan harga makanan ternakan ketika ini,”katanya. – KOSMO! ONLINE