PETALING JAYA – Pendakwah selebriti, Ustaz Abdullah Khairi meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa segelintir pihak yang pergi menunaikan ibadah umrah hanya bertujuan untuk ‘content’ (kandungan) semata-mata.
Beliau berkata, ada juga pihak yang bersikap pentingkan diri sehingga bertindak seperti menghambakan para ustaz dan mutawif yang memimpin para jemaah.
“Kadang hati ini rasa susah hati bila bawa orang pergi umrah kerana yang pergi ini bukan nak pergi sangat, macam nak pergi makan angin sahaja. Ada yang pergi umrah semata-mata dia rasa duit banyak. Bila sampi sana dia buat kita macam hamba. Suruh angkat beg dan beli barang.
“Dalam hati geram tetapi kita sabarlah. Kita bawa dia dengar tazkirah pun tak ada pengisian. Sebab apa dia datang mungkin dia niat nak duduk hotel lima bintang,” katanya dalam sesi ceramahnya baru-baru ini.
Dalam pada itu, Abdullah berkata, ramai di antara mereka juga pergi umrah bukan kerana inginkan keinsafan sebaliknya hanya ingin menunjuk-nunjuk.
“Kadang-kadang buat ‘content’ nak tunjuk kata hebat di Mekah. Betullah tuan-tuan, akhir zaman ini orang pergi Mekah bukan untuk menyucikan hati,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau juga meminta agar mana-mana individu menangguhkan hasrat bagi menunaikan ibadah umrah buat ketika ini.
“Siapa yang nak pergi tahun ini kalau boleh tangguh dulu. Tak usah pergi lagi tuan-tuan. Ramai sungguh. Lepas itu, orang Arab ini kuat main harga. Kalau kata hotel RM9,000 dapat duduk dekat-dekat itu bohong lah. Sampai sana mesti kena tambah RM2,000 lagi.
“Saya sampai-sampai, hotel dah bayar tetapi tak boleh masuk. Dah bayar RM500,000, bukan RM50,000. Apa yang boleh kita buat, beli ‘online’ (dalam talian) dengan harga satu hotel mencecah RM4,000 atau RM3,000. Kalau tidak jemaah nak duduk mana?,” luahnya. – KOSMO! ONLINE