fbpx

PM terima kunjungan Menteri Luar Negeri Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penny Wong (dua dari kiri) bersama Anwar dan Zambry.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima kunjungan hormat daripada Menteri Luar Negeri Australia, Senator Penny Wong, di Putrajaya, hari ini.

Menerusi hantaran di Twitternya, Anwar berkata, semasa pertemuan tersebut, isu-isu yang berkepentingan telah dibincangkan bersama termasuklah kerjasama ekonomi, dasar luar dan perkembangan serantau.

“Australia merupakan salah satu rakan rapat dan penting bagi Malaysia. Senator Wong juga menyampaikan salam daripada Perdana Menteri Albanese.

“Beliau turut menjemput saya untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Tahunan Malaysia-Australia, di bawah pelaksanaan Rakan Kerjasama Komprehensif Strategik (CSP) di Australia pada tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir juga telah menerima kunjungan hormat Penny Wong dalam hari yang sama.

Menerusi hantaran Facebook Wisma Putra, kedua-dua Menteri Luar Negeri dilihat saling bertukar pandangan berhubung status kerjasama dua hala serta isu-isu serantau dan antarabangsa, termasuklah ASEAN, Myanmar dan Australia – United Kingdom – Amerika Syarikat (AUKUS).

Ini merupakan kunjungan kali kedua buat Penny Wong yang juga anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah, ke Malaysia selepas lawatan julung kali ke negara ini selama tiga hari bermula 28 Jun lalu.

Wisma Putra turut berkata Malaysia dan Australia menjalinkan kerjasama erat dalam pelbagai sektor termasuk pertahanan, sains dan teknologi, pendidikan, memerangi keganasan, perdagangan dan pelaburan.

Jumlah dagangan dua hala antara kedua-dua negara pada 2022 meningkat dengan ketara sebanyak 55.4 peratus kepada RM88.65 bilion (US$20.05 bilion), menjadikan Australia sebagai rakan dagang ke-10 terbesar di peringkat global bagi Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI