fbpx

Permulaan positif Tobaki Cilik Pink Racing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AFIZI memulakan saingan di petak ke-24 sebelum berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10 dalam kelas CP150 pada Kejuaraan Petronas Cub Prix Malaysia di SIC semalam.

PENGURUS pasukan Tobaki Cilik Pink Racing (TCPRT), Nur Atikah Azwar berpuas hati dengan penampilan sulung pasukan itu dalam kelas CP150 pada Kejua­raan Petronas Cub Prix Malaysia musim ini.

Pada pusingan pertama yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Utara semalam, salah seorang pelumba Pink Racing, Afizi Supaat berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10 meskipun bermula di petak ke-24.

Atikah yang mesra disapa Ika berkata, dia bersyukur dengan keputusan tersebut selain sudah menjangkakan pelumba kelahiran Selangor itu mampu mencatat keputusan positif pada perlumbaan tersebut.

“Secara keseluruhan, apabila Afizi dapat kekal dalam kelompok atas, saya rasa sangat bersyukur tetapi pada masa sama agak gemuruh kerana kelompok itu terlalu besar, namun memang saya sudah jangka dia mampu tampilkan aksi seperti ini.

“Saya yakin dengan kemampuannya kerana pada sesi pemilihan sebelum ini, dia sentiasa menunjukkan sikap serta prestasi yang sangat baik.

“Selain itu, Afizi juga dapat mengikut arahan dan selalu mempamerkan pe­ningkatan,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengakui agak terkilan dengan nasib menimpa Muhamad Harith Farhan Baharin apabila dia gagal untuk menamatkan perlumbaan tersebut selepas jenteranya berdepan masalah teknikal.

Seorang lagi pelumba TCPRT, Faris Amir terpaksa berpuas hati di kedudukan ke-22 selepas memulakan perlumbaan itu di petak terakhir.

Untuk rekod, perlumbaan itu dimenangi pelumba pasukan Honda Yuzy Estremo, Shahrol Syazras Shahrol Yuzy diikuti Ahmad Afif Amran dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing, manakala tempat ketiga menjadi milik rakan sepasukan Shahrol Syazras, iaitu Azroy Hakeem Anuar.

Sementara itu, dalam kelas CP125, dua pelumba TCPRT, Mohamad Arfyq Hillman dan Mohd. Qhuwarismi Mohd. Nasir menampilkan aksi cukup membanggakan apabila masing-ma­sing menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-13 dan 16.

Selepas ini, TCPRT akan mengalihkan sepenuh tumpuan ke arah pusingan kedua saingan Cub Prix musim ini yang dijadualkan berlangsung di Litar Jempol, Negeri Sembilan pada 11 hingga 12 Mac depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI