SEREMBAN – ‘Kumpulan Zikir Asmaul Husna’ yang didapati menyeleweng daripada amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah dikesan kembali aktif selepas pengasasnya seorang wanita ditahan bersama 17 pengikutnya di Johol, Kuala Pilah di sini hari ini.
Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Ahmad Zaki Hamzah berkata, ketika serbuan pada pukul 9.30 pagi itu, pengasas ajaran itu seorang wanita berusia 60 tahun sedang menyampaikan kuliah kepada pengikutnya yang mana kesemuanya wanita.
“JHEAINS melakukan pemeriksaan selepas menerima aduan berkaitan ajaran meragukan dan mengajar agama tanpa tauliah oleh kumpulan ini. Pengasas ajaran itu yang digelar ‘Ummi’ telah ditahan bersama 17 pengikutnya yang berusia antara 20 hingga 60-an,” katanya ketika ditemui di Pejabat Penguat Kuasa JHEAINS, di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zaki, ajaran ‘Kumpulan Zikir Asmaul Husna’ itu pernah difatwakan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan (JMKNNS).
“Sebelum ini, pengasasnya yang merupakan bekas pensyarah universiti awam telah dipanggil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan membuat perisytiharan taubat (mengaku kesalahan) pada Februari 2021.
“Bagaimanapun, kita mendapati ajaran ini masih diteruskan oleh pengikutnya di rumah pengasas di Johol, Kuala Pilah selain bergerak dalam kumpulan kecil,” ujarnya.
Jelas Ahmad Zaki, ajaran itu yang mempunyai ramai pengikut di seluruh negara dalam proses mengembangkan ajarannya ke Indonesia berdasarkan penemuan dokumen memorandum persefahaman antara sekolah pondok negara tersebut.
“Pengikut ajaran Asmaul Husna ini kebanyakannya terdiri daripada golongan suri rumah dan tinggal di luar Negeri Sembilan. Berdasarkan risikan, pengikut kanan ajaran ini merekrut pengikutnya melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram,” katanya.
“Kesemua suspek akan didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan dan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah 1992 dan Seksyen 53 enakmen yang sama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE