fbpx

Nur Izzah Atirah mahu bergelar pendakwah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR IZZAH ATIRAH bergambar bersama seorang kanak-kanak sewaktu melakukan aktiviti dakwah di Kunak, Sabah.

GEMAR merakamkan video berunsur nasihat telah mendorong siswi di Universiti Malaya (UM) itu menyimpan cita-cita bergelar seorang pendakwah tersohor pada suatu hari nanti.

Bagi Nur Izzah Atirah Ismail, minatnya merakamkan video telah mendorong dirinya untuk menjadi insan lebih berkeyakinan bagi mendepani dunia realiti.

Menurut gadis kelahiran Sungai Besar, Selangor itu, cara video diambil membuatkan orang ramai tidak perlu lagi membaca, cukup sekadar dengan mendengar.

“Saya memang minat membuat video nasihat dengan menggunakan audio sendiri. Jadi, orang ramai tidak perlu membaca lagi, sebaliknya mereka perlu mendengar sahaja.

“Apa yang pasti, video yang saya hasilkan mungkin boleh mengetuk pintu hati manusia lain,” katanya yang juga merupakan bekas Exco Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (PMAPIUM).

Menurut Nur Izzah Atirah, dia mula berkecimpung membuat video dakwah usai tamat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Katanya, minat tersebut lebih terserlah selepas berjaya mendaftarkan diri di UM dengan mengambil jurusan Dakwah dan Pembangunan Insan di Akademi Pengajian Islam.

“Sebagai mahasiswa di Jabatan Dakwah, kami diminta untuk membuat video berunsur promosi.

“Sejak itu pendedahan dan minat menghasilkan video bermula.

“Bidang ini bukan sahaja tertumpu kepada tubuh yang berucap menyampaikan dakwah.

“Malah, cara pemasaran, kandungan serta strategi dakwah berkenaan.

“Tujuan saya buat video lebih kepada menyampaikan dakwah, selain menyuntik semangat kepada orang ramai,” katanya.

Ujar anak bongsu daripada enam beradik itu lagi, dia bersyukur mengambil jurusan dakwah kerana berpeluang membuat aktiviti kemanusiaan bersama masyarakat luar.

“Program dakwah yang pernah saya laksanakan bersama rakan-rakan di kampus adalah di Kunak, Sabah beberapa tahun lalu.

“Apabila hendak membuat kerja dakwah di sana, kita tidak boleh terus menyebarkan ajaran Islam secara melulu.

“Sebaliknya, kami perlu membina hubungan baik dengan mereka (penduduk tempatan) terlebih dahulu,” ujarnya lagi.

NUR IZZAH ATIRAH merupakan salah seorang pelajar jurusan Dakwah dan Pembangunan Insan di Akademi Pengajian Islam, UM.

Ditebak mengenai pandangannya mengenai penglibatan mahasiswa dengan aktiviti luar kuliah, Nur Izzah Atirah berpendapat, perkara tersebut perlu bagi meningkatkan lagi pengetahuan dan ilmu tanpa mengabaikan akademik.

“Pada pendapat saya, mereka yang bergelar mahasiswa perlu terlibat dalam aktiviti kokurikulum.

“Bukannya melibatkan diri dengan kesemua aktiviti, tetapi memilih persatuan atau kelab yang dapat meningkatkan potensi diri melalui aspek yang telah dinilai sendiri.

“Perkara berkenaan telah memberi kesan kepada saya.

“Saya tidak mahu menjadi pelajar seperti di zaman sekolah yang berkeinginan menuntut ilmu di dalam kelas sahaja,” katanya.

Tambahnya, semasa menjadi mahasiswa, dia perlu mengutip sebanyak mungkin kemahiran diri.

Jelasnya, kemahiran diri tersebut sangat bermanfaat dan boleh digunakan selepas tamat pembelajaran di universiti kelak.

“Salah satu kelebihan menyertai aktiviti kokurikulum ini, saya dapat mengasah diri untuk berfikir dengan lebih kritis dan kreatif.

“Bukan hanya menunggu orang lain memberi idea, bahkan saya sendiri perlu menjadi seorang yang mencari idea dan solusi,” ujarnya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI