SEPANG – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menolak untuk meniru model ‘Makkah Route’ dalam usaha mengurangkan isu kesesakan di pintu masuk utama udara negara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia antara idea yang difikirkan bagi mengatasi masalah dialami Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Bagaimanapun, kaedah ini pula memerlukan persetujuan antara G-to-G (kerajaan kepada kerajaan) sebelum ia boleh dilaksanakan,” katanya pada sidang akhbar di sini tadi.
Terdahulu, beliau melancarkan kemudahan ‘autogate’ pemeriksaan imigresen untuk rakyat 10 negara berisiko rendah yang melibatkan terminal 1 KLIA.
Warganegara dari Arab Saudi, Amerika Syarikat, Australia, Britain, Brunei, Jerman, Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan Singapura menjadi kumpulan perintis fasiliti berkenaan.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, pihak KDN bersedia menerima sebarang model untuk memudahkan pengembara asing tidak beratur lama di pusat pemeriksaan.
“Mungkin idea Makkah Route boleh disesuaikan, namun ia kena ada perjanjian G-to-G,” katanya.
Pada masa sama, Saifuddin turut prihatin dengan kesukaran rakyat luar negara yang ada beratur lebih sejam ketika tempoh waktu puncak dan isu itu sedang dipantaunya rapi.
Beliau turut membayangkan selepas ini sistem autogate bakal diperluaskan lagi kepada banyak negara kurang berisiko kerana ia lebih selamat dan jimat proses pemeriksaan. – KOSMO! ONLINE