PETALING JAYA – Mangsa pokok tumbang di Zoo Melaka Januari lalu, berkongsi kisah gembira apabila sudah mampu berjalan seperti sediakala. Mangsa pokok tumbang di Zoo Melaka Januari lalu, berkongsi kisah gembira apabila sudah mampu berjalan seperti sediakala.
Menerusi TikTok Gee Yam, dia berkongsi video yang menunjukkan progres penyembuhannya bermula hari pertama selepas kejadian sehingga bebas tongkat, hanya dalam tempoh sebulan selepas menjalani sesi fisioterapi.
“Kejadian pokok tumbang di Zoo Melaka membuatkan tulang pinggul Kak Gee retak depan dan belakang, hadiah Allah. Alhamdulillah belum sampai sebulan dah boleh jalan, syukur terima kasih kepada semua yang mendoakan Kak Gee,” kongsinya.
Orang ramai turut menzahirkan keterujaan di atas kejayaan wanita tersebut dan memberi sokongan padu supaya sembuh sepenuhnya.
“Kuatnya, saya pun patah tulang pinggul juga. Doakan saya cepat sembuh macam sis ya,” ujar Syikin.
“Alhamdulillah semakin baik. Semoga cepat sembuh kak,” komen Sweet little lion.
“Saya ada baca berita tu kebetulan saya pergi sehari sebelum akak pergi. Semoga akak kuat ya,” ucap seorang lagi pengguna.
Januari lalu, Kosmo! melaporkan keseronokan tiga beranak mengunjungi Zoo Melaka bertukar tragedi apabila dihempap pokok tumbang dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu.
Gee Yam bersama suami dan anak lelakinya berusia enam tahun turut mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE