fbpx

Majlis Ulama UMNO berperanan didik, tarbiah ahli parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Majlis Ulama UMNO hari ini mengadakan Mesyuarat Tertinggi kali pertama yang dipengerusikan oleh Dusuki.

PETALING JAYA – Majlis Ulama UMNO (MUU) berperanan dalam mendidik dan mentarbiah ahlinya supaya selaras dengan asas dan tujuan parti, sekali gus beristiqamah dengan Islam.

Pengerusinya, Datuk Dusuki Ahmad berkata, majlis itu turut berperanan dalam menasihati parti selain mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan, namun masih menghormati kebebasan beragama.

“MUU juga berperanan dalam menasihati kerajaan agar sentiasa bertindak selaras dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Malaysia iaitu Islam sebagai agama Persekutuan.

“Dalam masa sama, MUU akan memainkan peranan penting dalam menangani isu semasa melibatkan kepentingan umat Islam di dalam dan luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, Mesyuarat Anggota Tertinggi turut telah meluluskan 30 Mercu Tanda MUU antaranya adalah Program Halaqah, Sidang Muzakarah Meja Bulat MUU dan menjadikan Surau Rahman WTC sebagai antara pusat aktiviti keilmuan Islam.

Terdahulu, MUU mengadakan Mesyuarat Tertinggi kali pertama yang dipengerusikan Dusuki selepas diumumkan penubuhannya oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 pada 13 Januari lalu.

Difahamkan, struktur rasmi MUU terbahagi kepada tiga iaitu Anggota Tertinggi, Panel Muzakarah dan Anggota.

Anggota Tertinggi terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha Eksekutif, tidak lebih daripada 10 anggota dan Pengerusi-Pengerusi Biro Agama UMNO Negeri dan Wilayah, manakala Panel Muzakarah terdiri daripada ulama dan ilmuwan Islam dalam dan luar parti yang dilantik oleh Majlis Ulama.

Anggota Majlis Ulama pula terbuka keanggotaannya kepada lepasan pengajian Islam dari institut pengajian tinggi atau institut pengajian tradisional Islam atau tokoh yang diperakui keilmuannya dalam pengajian Islam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI