fbpx

Mahkamah: Tukar peguam saat akhir sesuatu yang ‘serba tidak kena’ – Pendakwaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib.

PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan menyatakan tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak menukar peguam baharu pada saat-saat akhir semasa rayuan akhir dalam kes SRC International Sdn. Bhd. (SRC International) tahun lalu sebagai sesuatu ‘serba tidak kena’.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram ketika berhujah berkata, ini kerana Najib ibarat “changing horses in midstream” (menukar haluan) di tengah-tengah perjalanan rayuan akhirnya ketika di Mahkamah Persekutuan.

“Mengapa Najib yang diwakili Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada peringkat Mahkamah Tinggi kes SRC International pada 2018 tiba-tiba menukar peguam pada 2022 sebelum pendengaran rayuan di hadapan Mahkamah Persekutuan pada Ogos lepas.

“Walaupun terdapat hak (tertuduh) untuk memilih peguam, namun peguam juga perlu bersedia untuk bertindak pada hari tertentu.

“Sebenar mereka (pihak Najib) tidak mahu meneruskan kes itu (rayuan), sebab itu mereka mahu penangguhan,” kata Sithambaram pada prosiding permohonan semakan Najib terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun dan denda RM210 juta.

Hukuman itu berhubung dana RM42 juta milik SRC International pada Ogos tahun lalu.

Menjawab persoalan itu, peguam Muhammad Shafee kemudian membidas dengan mengatakan itu adalah kali pertama pertukaran peguam dilakukan dalam kes Najib dan ia dilakukan dengan niat baik (bona fide).

Beliau berkata, sebenarnya pertukaran peguam itu adalah disebabkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak membenarkan Queen’s Counsel (QC) dari United Kingdom Jonathan Laidlaw untuk diterima masuk ke Badan Peguam dan mewakili Najib dalam rayuan akhirnya.

“Oleh itu, tiada agenda untuk membuat penangguhan,” tegas Muhammad Shafee.

Pada 25 Julai 2022, Najib menamatkan perkhidmatan Muhammad Shafee dan firma guamannya Tetuan Shafee & Co. sebelum melantik firma guaman, Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) bagi menggantikan fima terbabit.

Tindakan Najib menukar barisan peguamnya dilakukan kurang tiga minggu daripada tarikh pendengaran rayuan akhir yang akan bermula pada 15 Ogos 2022.

Tindakan itu dibuat selepas permohonan bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk mendapatkan khidmat Jonathan Laidlaw sebagai salah seorang peguamnya dalam rayuan akhirnya ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam prosiding ini, semakan didengar Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang bersidang bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Pendengaran semakan itu bersambung lagi esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI