fbpx

Mahkamah: DJ Ismahalil menangis diperintah bela diri edar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismahalil Hamzah

KUALA LUMPUR – Penyampai radio, Ismahalil Hamzah menangis selepas diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah dua tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap pertuduhan itu.

Dalam penghakiman ringkasnya Hakim Muhammad Jamil, berkata, mahkamah mendapati 22 peket dadah yang dijumpai dalam bilik tertuduh (Ismahalil) berada dalam kawalan dan jagaannya.

“Semasa serbuan di bilik itu, tertuduh sendiri mengambil beg, yang mengandungi dadah dari lantai dan memberinya kepada pegawai polis selepas ditanya sama ada terdapat barang salah.

“Kelakuan tertuduh yang mengambil sendiri beg itu dan dilihat berada dalam keadaan mencurigakan menunjukkan tertuduh mengetahui kewujudan dadah tersebut. Oleh itu, pihak pendakwaan berjaya membuktikan dadah berkenaan berada dalam kawalan tertuduh,” kata hakim tersebut.

Justeru mahkamah kemudian memberikan tiga pilihan kepada tertuduh berhubung bicara bela diri itu.

Pilihan pertama adalah memberikan keterangan bersumpah dalam kandang tertuduh di mana pihak pendakwaan boleh menyoal balas.

Kedua, memberi keterangan dalam kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah dan pendakwaan tidak boleh menyoal balas keterangan.

Sementara yang ketiga ialah berdiam diri tanpa menjawab tuduhan.

Ismahalil kemudian memilih pilihan pertama iaitu keterangan bersumpah dalam kandang di mana pihak pendakwaan boleh menyoal balas keterangan.

Sementara itu, peguam bela tertuduh, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar, menyatakan lima saksi pembelaan termasuk tertuduh akan dipanggil memberi keterangan dan memohon tarikh prosiding itu pada 30 dan 31 Mei ini.

Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad, tidak membantah cadangan tarikh berkenaan.

Sebelum ini, perbicaraan telah berlangsung pada 19, 20 dan 31 Oktober tahun lalu selain bersambung pada 3 dan 9 Januari lalu dengan lima saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Pada 21 Februari tahun lalu, Ismahalil, 49, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan mengedar dadah selepas pengakuan direkodkan buat pertama kali.

Mengikut pertuduhan Ismahalil didakwa telah mengedar dadah berbahaya jenis Kanabis iaitu 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini pukul 5.35 petang pada 27 Ogos 2021.– KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI