SAUDARA PENGARANG,
SELAKU pengguna jalan raya yang menggunakan kereta sebagai kenderaan untuk memudahkan pergerakan harian, saya berasa amat kecewa dengan tindakan saman disebabkan masalah parkir.
Sebagai pengguna, bagi saya tindakan saman sebenarnya bukanlah cara penyelesaian yang sepatutnya diterapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menyelesaikan masalah berkaitan parkir.
Seperti kita sedia maklum, pertambahan kenderaan di Malaysia saban tahun seperti sudah tidak boleh diselesaikan.
Menurut statistik pada tahun lalu, kenderaan baharu yang dikeluarkan di negara ini adalah sebanyak 770,000 buah, jumlah itu tidak termasuk kenderaan baharu import yang dibawa masuk ke Malaysia.
Jumlah parkir yang terdapat di Malaysia pula secara logiknya memang sudah tidak mencukupi berbanding dengan nisbah kenderaan baharu.
Tempat letak kenderaan juga tidak ditambah. Apa yang perlu dilakukan sepatutnya adalah menambah jumlah parkir di kawasan sepatutnya.
Bukan itu sahaja, saiz tempat meletak kenderaan juga sepatut dikaji semula kerana jika dilihat kepada saiz kenderaan ketika ini ternyata sudah berbeza berbanding sebelum ini.
Oleh itu, saya amat berharap agar pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan Pusat memikirkan tentang permasalahan ini.
Kaedah serta hukuman menyaman bagi saya sudah tidak realistik dan langsung tidak dapat menyelesaikan masalah parkir yang sudah berlaku sejak sekian lama.
Abang Vios
Lembah Pantai