PETALING JAYA – Keputusan representasi pertuduhan khianat merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara tahun lalu yang didakwa dilakukan pelakon dan pengacara popular, Awal Ashaari ditunda pada tarikh akan datang.
Peguam Datuk M. Reza Hassan yang mewakili Awal berkata, mahkamah telah menetapkan tarikh baharu bagi keputusan representasi berkenaan pada 18 April depan sementara tarikh perbicaraan adalah pada 15 Ogos 2023.
“Pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) masih lagi sedang mempertimbangkan representasi yang dikemukakan pada 17 November 2022.
“Jadi, DPP yang baharu. Beliau tiada rekod tentang surat representasi yang telah dikemukakan pada tarikh yang disebutkan.
“Apa yang telah berlaku, pihak kami perlu mengemukakan sekali lagi surat representasi tersebut. Surat yang sama pihak kami beri kepada beliau,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online di Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini sebentar tadi.
Sebelum ini, Awal atau nama sebenarnya, Ahmad Awaluddin Ashaari, 42, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Awal ketika ditemui berkata, dia menghormati apa yang ditentukan pihak mahkamah dan akur belum ada keputusan atas dakwaan terhadap dirinya.
“Saya datang dengan harapan untuk dapat keputusan sebab melalui peguam, pihak kami dah hantar surat represtasi tahun lalu tapi malangnya, belum ada lagi keputusan pada hari ini.
“Kita dapat tarikh baharu untuk sebutan dan perbicaraan. Jadi, tunggulah insya-Allah semuanya akan berakhir dengan baik. Amin,” katanya.
Pada 17 Mei 2022, suami kepada Scha Alyahya itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan melakukan khianat merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara.
Mengikut pertuduhan, selebriti itu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan Challis Damansara dengan kerugian sebanyak RM600 di pondok pengawal perumahan di Jalan PJU 3/30 pukul 11.30 pagi pada 16 April tahun lalu .
Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE