fbpx

Inisiatif UUM ringankan beban siswa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INISIATIF kupon berkenaan diharap dapat membantu meringankan beban kewangan para pelajar terutamanya golongan B40.

DALAM usaha meringankan beban mahasiswa, Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) mengambil inisiatif mengedarkan kupon makanan dan minuman secara percuma kepada para pelajar di dalam kampus.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, semua pelajar UUM boleh mendapatkan kupon makanan tersebut di pejabat Pusat Islam kampus induk yang terletak di Sintok, Kedah.

Menurutnya, biarpun Menu Rahmah yang bernilai RM4 dan RM5 sudah diperkenalkan di kampus itu, namun pihaknya turut menyediakan kupon percuma berkenaan.

“Kedua-dua langkah ini diperkenalkan tepat pada masanya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Inisiatif ini dapat membantu pelajar di sini menjimatkan perbelanjaan mereka dengan adanya kupon makanan dan minuman secara percuma ini.

“Ia merupakan alternatif kepada pembelian melalui Menu Rahmah yang diperkenalkan oleh kafe-kafe terpilih di dalam UUM pada ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Islam UUM, Ustaz Zar Ei Zakaria berkata, kupon percuma itu telah diedarkan sejak tahun lepas dan diteruskan hingga sekarang.

PARA pelajar boleh mendapatkan makanan dan minuman secara percuma di kafe terpilih menerusi kupon yang diedarkan oleh Pusat Islam UUM.

Katanya, menerusi kupon itu, pelajar boleh membuat pembelian makanan dan minuman di Kafe Pusat Islam dengan menyerahkan kupon yang diedarkan itu.

“Semua pelajar yang ingin mendapatkan kupon boleh hadir ke pejabat Pusat Islam UUM untuk mendaftar dan mendapatkan kupon ini pada hari bekerja.

“Pemberian kupon percuma untuk pembelian makanan dan minuman ini adalah sumbangan daripada staf, alumni dan orang ramai,” katanya.

USTAZ ZAR EI (duduk, kanan) bersama kakitangan Pusat Islam UUM menunjukkan replika kupon makanan dan minuman yang diedarkan kepada para pelajar di kampus berkenaan.

Dalam pada itu, Eksekutif Pembangunan Sahsiah dan Moral, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), UUM, Muhammad Danial Azrain berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua pihak yang berusaha membantu menyediakan

Menu Rahmah dan kupon percuma kepada para pelajar.

“Kami yakin dengan inisiatif ini, ia pastinya dapat membantu pelajar terutama golongan B40.

“Jadi, mereka yang mempunyai masalah kewangan boleh menarik nafas lega dengan pakej-pakej yang disediakan ini,” ujarnya.

Bagi Eksekutif Hal Ehwal Aduan dan Krisis 1, MPP, UUM , Muhammad Iman Hanafi Aiza memaklumkan, pakej-pakej yang ditawarkan itu diharap dapat membantu para pelajar di kampus berkenaan.

Katanya, ketika ini, para pelajar mempunyai pilihan sama ada membeli makanan di kafe yang menawarkan Menu Rahmah atau mendapatkan kupon percuma disediakan oleh Pusat Islam UUM.

“Kedua-dua inisiatif ini amat baik. Saya harap ia dapat diteruskan bagi membantu pelajar UUM dalam mendepani keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI