JITRA – Tidak semua pengasas syarikat duduk selesa di atas kerusi empuk menguruskan perniagaan bertahun-tahun tanpa diuji dengan pelbagai cabaran, untung dan rugi, ditipu dan dikhianati.
Ujian dan cabaran itu pastinya tidak akan melemahkan mereka, tetapi itu semua adalah penguat semangat mereka untuk terus positif bangkit semula.
Sokongan daripada ahli keluarga, teman-teman rapat dan juga semangat juang dalaman diri sendiri telah menjadi platform untuk kembali berjuang meskipun menyedari mereka perlu memulakan semula langkah berdikit-dikit hingga menuju ke puncak.
Itulah pengalaman pahit yang ditempuhi Pengasas syarikat DRSA Holdings Sdn. Bhd., (DRSA) Dr. Mohamad Khawarizmi Noor Rizan atau lebih dikenali sebagai Sam Anderson yang berdepan dengan cabaran dikhianati orang yang dipercayainya sehingga membuatkan syarikat menanggung kerugian sehingga beratus ribu ringgit.
Usahawan yang berasal dari Kampar, Perak itu merupakan pengeluar produk penjagaan kecantikan dan kesihatan serta menawarkan konsultansi perniagaan untuk membimbing mana-mana pengasas syarikat mencipta nama dalam industri itu.
Bagaimanapun, beliau lebih menjuruskan kepada pengeluaran produk kurus, produk penjagaan kecantikan bagi membantu mencerahkan kulit wajah serta membantu menurunkan berat badan dengan cara yang sihat melalui pengambilan pelbagai produk yang dihasilkan daripada bahan semulajadi selain mendapat kelulusan daripada pihak yang berkaitan.
Produk yang dihasilkan itu bersesuaian untuk kaum lelaki dan wanita serta dibangunkan melalui kajian dan pembangunan yang teliti bagi membolehkan syarikatnya menghasilkan produk berkualiti.
“Saya menjadi mangsa khianat orang yang dipercayai dan dianggap sebagai keluarga yang mana dia telah membawa keluar pelanggan baharu kepada syarikat pesaing lain sehingga saya kehilangan banyak pelanggan berpotensi dan menanggung kerugian ratusan ribu ringgit.
“Tetapi itu semua saya anggap ujian untuk mematangkan diri, saya bersikap positif dan bangkit semula, malah kini lebih berjaya,” katanya ketika Kosmo! baru-baru ini.
Mohamad Khawarizmi menerangkan, syarikat yang dibangunkan sejak tujuh tahun lalu itu meneruskan perjuangan dengan impian untuk membina lebih ramai jutawan produk yang berjaya pada tahun ini.
Cadangan utamanya adalah untuk melihat enam pengasas produk baharu di bawah bimbingannya bakal bergelar jutawan sekali gus membina legasi perniagaan masing-masing selain berkongsi rezeki dengan lebih ramai usahawan sedia ada dan baharu di pasaran.
Tambah beliau, industri membangunkan pelbagai produk untuk pengasas produk kini semakin mendapat tempat dalam kalangan pemainnya kerana masih terdapat kuasa beli yang baik daripada pelanggan masa kini meskipun berdepan dengan kemelut ekonomi yang sukar kini.
Lebih menarik, beliau melihat trend masyarakat kini yang teruja untuk membeli produk ‘kurus’ atau produk ‘memutihkan’ kulit wajah bersesuaian dengan perubahan gaya hidup semasa.
Selain itu, pihaknya akan sentiasa membimbing pengasas produk berkenaan meningkatkan jenama masing-masing seiring dengan perkembangan digital dan teknologi moden selain platform media sosial.
“Itulah kelainan DRSA berbanding syarikat perniagaan produk (OEM) yang lain kerana kami bimbing mereka sehingga berjaya,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE