KUALA LUMPUR – Warga asing dari negara-negara berisiko rendah yang memasuki negara kini dibenarkan menggunakan sistem pagar automatik atau autogate di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebelum ini, kemudahan tersebut hanya dikhususnya untuk rakyat Malaysia dan kebenaran bagi warga asing negara berisiko rendah adalah bagi mengurangkan kesesakan.
“Kami prihatin tentang masalah kelambatan di pintu masuk negara khususnya KLIA dan saya tidak ada sindrom penafian. Penyelesaian kepada masalah ini adalah misalnya, petang ini saya akan berada lagi di KLIA.
“Petang ini saya akan maklumkan pembukaan semua ‘autogate’ negara termasuk kepada warga negara asing yang berisiko rendah seperti Singapura, New Zealand serta negara Kumpulan Tujuh (G7),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Datuk Mumtaz Md. Nawi (PN-Tumpat) berhubung kesesakan di pintu masuk utama imigresen sehingga perlu mengambil masa lama untuk menunggu. – KOSMO! ONLINE