CLERMONT-FERRAND, Perancis – Bintang sensasi lompat bergalah, Armand Duplantis sekali lagi mencipta rekod dunia apabila berjaya melepasi had ketinggian 6.22 meter (m) pada Kejohanan All Star Perch awal pagi semalam.
Catatan itu membolehkan Duplantis, 24, memperbaharui rekod dunia, 6.21m yang diciptanya tahun lalu ketika memenangi pingat emas Kejohanan Olahraga Dunia 2022 di Oregon, Amerika Syarikat.
Ia sekali gus menyaksikan atlet berprofil tinggi dari Sweden itu kini berjaya mencipta enam rekod dunia dalam kariernya sejak kali pertama melakukannya pada Februari 2020.
“Suasana di kejohanan ini membuatkan saya lebih bertenaga untuk cuba memadam rekod dunia sendiri. Badan saya terasa seperti melayang dan langsung tidak menyentuh tilam sepanjang lompatan ini.
“Perasaan sekarang cukup hebat, tetapi sukar untuk saya menjelaskannya. Mungkin ia disebabkan Renaud Lavillenie adalah idola dan sumber inspirasi untuk saya berjaya dalam arena ini.
“Dia sentiasa mempercayai kebolehan saya untuk mencipta rekod demi rekod. Saya terharu kerana berjaya memecahkan rekod ini di kejohanan yang dianjurkannya,” kata Duplantis.
Dalam masa sama, pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu mengakui, tidak lagi merasai tekanan yang tinggi apabila sudah berjaya memecahkan rekod demi rekod dunia sepanjang kariernya.
Kini, Duplantis memburu rekod dunia ketujuhnya dalam Kejohanan Olahraga Dunia musim ini yang akan berlangsung di Budapest, Hungary pada Ogos depan. – AGENSI