Bimbang menjadi penganggur dan beban kepada individu lain selepas tamat pengajian, Arwidah Abdul Aris, 26, membulatkan tekad terjun ke bidang perniagaan dengan menjual kuih churros di Seri Manjung, Perak.
Tidak salah langkah, setelah hampir dua tahun, gadis Pesona Ahad yang bercita-cita menjadi ahli psikologi ini terus menerpa kejayaan apabila jualannya semakin laris.
Kepada Kosmo! Ahad, anak sulung mesra dipanggil Widah ini bercerita tentang impiannya yang mahu memiliki danmengembangkan perniagaan ke serata negara satu hari nanti.
Kosmo! Ahad: Ceritakan mengenai latar belakang diri Widah?
Widah: Saya merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Psikologi Kaunseling, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan telah tamat belajar pada 2021, namun saya baru sahaja bergraduasi pada Disember 2022 disebabkan penularan wabak Covid-19. Seorang yang ceria walaupun sering dianggap pemalu oleh orang lain.
Bagaimana mula menjadi seorang peniaga churros?
Sekitar Julai, 2018, pada mulanya sekadar mengisi masa lapang semasa cuti semester sekali gus mengumpul duit poket untuk semester seterusnya. Namun awal 2021, apabila negara masih dilanda Covid-19 dan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus mengehadkan peluang pekerjaan saya ceburi bisnes churros kerana tidak mahu jadi penganggur.
Pengalaman manis sepanjang memulakan perniagaan?
Dapat komen baik daripada pelanggan, dari hanya menjual churros original, sekarang saya ada lebih daripada empat pilihan termasuk Churros Red Velvet Cheese.
Berkat kesabaran saya membeli dua mesin membantu memudahkan proses pengepaman adunan churros dan pengisian cheese ke dalam setiap churros.
Pencapaian terbaik Widah?
Pada 2021, saya merupakan pemenang tempat ke-4 Program Francais Siswa anjuran Malaysian Franchise Association (MFA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) (ketika itu).
Selain itu, jualan churros semakin laris apabila 45 kilogram adunan habis dalam tempoh tiga jam sahaja setiap hari.
Anda peminat churros?
Pada mulanya, saya ingin tahu bagaimana rasanya dan mula belajar resepi di YouTube. Setelah terpikat akhirnya inilah sumber pendapatan saya dan rakan-rakan kini.
Widah pilih rupa atau harta?
Bagi saya, personaliti adalah ciri utama yang boleh buat saya tertarik kepada seseorang. Rupa dan harta adalah bonus dan alhamdulillah ciri itu juga ada pada pasangan saya. Perkenalan dari seorang sahabat, kini mungkin jadi pasangan hidup selamanya.