fbpx

WHO bimbang penularan selesema burung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAKITANGAN kerajaan memberikan maklumat tentang ancaman H5N1 kepada penduduk kampung di wilayah Prey Veng, Kemboja pada 23 Februari lalu. -- AFP

PARIS – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyuarakan kebimbangan mengenai selesema burung kelmarin selepas bapa kepada seorang budak perempuan Kemboja berusia 11 tahun yang meninggal dunia akibat penyakit itu, turut disahkan positif.

WHO kini bimbang virus se­lesema burung (H5N1) itu boleh menjangkiti antara manusia.

Sejak akhir 2021, dunia dilanda wabak selesema burung pa­ling buruk yang menyaksikan berpuluh juta ternakan ayam dan itik dihapuskan, burung liar mati secara besar-besaran dan jumlah jangkitan dalam kalangan mamalia meningkat.

Di Kemboja, gadis itu jatuh sakit pada 16 Februari lalu. Dia mengalami demam, batuk dan sakit tekak sebelum meninggal dunia Rabu lepas akibat virus selesema burung H5N1, kata kementerian kesihatan.

Pihak berkuasa kemudian mengumpul sampel daripada 12 orang yang pernah berhubung dengan pesakit tersebut.

Kelmarin, pihak berkuasa ber­kata, bapa kanak-kanak pe­rem­puan berusia 49 tahun itu juga positif H5N1, namun menambah, dia tidak menunjukkan gejala.

WHO berkata, ia berhubung rapat dengan pihak berkuasa Kemboja berhubung situasi itu, termasuk mengenai keputusan ujian kenalan lain pesakit. Manusia jarang dijangkiti selesema burung tetapi apabila dijangkiti, ia biasanya disebabkan oleh sentuhan langsung dengan burung yang jatuh sakit.

Pasukan penyiasat Kemboja sedang berusaha untuk mengenal pasti sama ada pesakit dan bapanya terdedah kepada burung yang dijangkiti.

Pegawai-pegawai juga sedang menunggu keputusan ujian beberapa burung liar yang ditemui mati berhampiran kampung gadis itu di wilayah Prey Veng, timur Kemboja.

“Setakat ini, masih terlalu awal untuk mengenal pasti sama ada jangkitan berpunca daripada penularan manusia kepada manusia atau pendedahan kepada persekitaran,” kata Pengarah Kesiapsiagaan dan Pencegahan Wabak dan Pandemik WHO, Sylvie Briand pada satu sidang akhbar secara online.

Awal bulan ini, Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, risiko selesema burung kepada manusia adalah rendah, manakala Briand menekankan bahawa penilaian itu tidak berubah.

Bagaimanapun, katanya, WHO sedang menyemak maklumat yang ada untuk melihat sama ada penilaian risiko tersebut perlu dirombak.

“Situasi H5N1 global membimbangkan memandangkan penyebaran virus yang meluas dalam kalangan burung di seluruh dunia dan peningkatan laporan kes selesema burung terhadap mamalia termasuk kes melibatkan manusia.

“WHO memandang serius risiko virus ini dan menggesa kewaspadaan lebih tinggi dari semua negara,” tambahnya.

Setakat ini, kes selesema burung pada manusia berlaku secara ‘sporadik’,” kata Briand lagi.

“Namun, apabila anda melihat terdapat beberapa kes berpotensi yang terkait dengan kes awal ini, anda tertanya-tanya apakah yang telah berlaku: adakah ­kerana mungkin kes telah menularkan penyakit itu kepada manusia lain?

“Justeru, kami sangat prihatin tentang potensi penularan manusia ke manusia yang mungkin berlaku akibat limpahan awal jangkitan terhadap haiwan,” jelasnya.

Sekiranya penularan selesema burung sesama manusia disahkan berlaku, WHO berkata satu siri langkah boleh dilaksanakan dengan agak cepat.

Sebagai contoh, terdapat hampir 20 vaksin selesema burung H5 yang dilesenkan untuk kegunaan pandemik, kata WHO.

Namun, ketua pusat kajian influenza haiwan WHO, Richard Webby menganggarkan ia mungkin mengambil masa lima atau enam bulan untuk mengemas kini dan menghasilkan vaksin sedemikian untuk varian H5N1 yang sedang menular.

Awal minggu ini, ketua saintis WHO, Jeremy Farrar menyeru kerajaan di seluruh dunia untuk melabur dalam vaksin H5N1 sebagai persediaan menghadapi potensi wabak pada manusia.

Membiarkan virus merebak secara meluas dalam kalangan burung dan mamalia adalah cara terbaik untuk ‘mencipta sesuatu yang jahat’, kata Farrar menurut jurnal BMJ.

Tom Peacock selaku pakar virologi di Kolej Imperial London memberitahu AFP bahawa setiap ‘jangkitan selesema burung pada manusia adalah membimbangkan’.

“Fakta telah dikenal pasti dengan cepat dan mungkin kes ini (Kemboja) tidak menjadi lebih buruk tetapi untuk setiap kes seperti ini, kemungkinan terdapat banyak kes serupa yang tidak dapat dikesan,” tambahnya.

Sepanjang dua dekad lalu, terdapat hampir 900 kes virus H5N1 menjangkiti manusia dengan ­lebih 450 kematian, demikian menurut WHO.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di Ecuador yang dijangkiti selesema burung pada bulan lalu telah ‘sembuh dan keluar dari hospital’. Dia masih mengambil ubat antiviral, kata Briand. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI