fbpx

Raja Permaisuri Agong berangkat ke majlis Sambutan Hari Peringatan Sedunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tunku Azizah semasa melawat gerai semasa berangkat menyempurnakan majlis Sambutan Hari Peringatan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 anjuran Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

PETALING JAYA – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat menyempurnakan majlis Sambutan Hari Peringatan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 anjuran Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut berangkat pada majlis yang bertemakan “Dunia Kita, Masa Depan Kita Yang Damai, Persekitaran Dan Keamanan” adalah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah.

Keberangkatan tiba Raja Permaisuri bersama Sultanah Nur Zahirah disambut Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menerusi perkongsian di laman Facebook Istana Negara, Tunku Azizah mahu semua pemimpin dan ahli PPPM menerapkan dan mempraktikkan sepenuhnya program Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) bagi menangani isu-isu semasa berkaitan kanak-kanak, remaja dan wanita.

Jelas Istana Negara, Tunku Azizah mahu model kepimpinan WAGGGS dapat membentuk ahli PPPM menjadi insan yang berdisiplin tinggi dengan akhlak terpuji, seterusnya menjadi contoh dan tonggak kepada kepimpinan negara pada masa hadapan.

“Seri Paduka Baginda turut bertitah program Stop The Violence (STV) yang diberi penekanan dalam WAGGGS, berupaya membantu menangani keganasan terhadap wanita, kanak-kanak dan remaja perempuan melalui aktiviti peningkatan kesedaran, sokongan, pendidikan serta penyelidikan dalam komuniti.

“Seri Paduka Baginda turut mengingatkan semua pemimpin dan ahli PPPM supaya berkongsi ilmu program Surf Smart dengan masyarakat bagi memperkasa dan menggalakkan penggunaan Internet secara bertanggungjawab dan selamat,” kata Istana Negara.

Pada masa sama, Istana Negara berkata, Tunku Azizah menyeru Program Surf Smart perlu dikongsi seluas-luasnya dalam kalangan ahli PPPM di seluruh negara dan mereka perlu dididik cara untuk berhubung secara positif dan selamat, melindungi diri daripada ancaman, menghormati hak dan reputasi diri sewaktu melayari internet.-KOSMO ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI