fbpx

Program Harmoni beri manfaat lebih 1,500 golongan kurang bernasib baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aaron (tengah) merasmikan Program Harmoni bersempena sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia di Dewan Undangan Negeri, Sarawak, hari ini.

PETALING JAYA – Lebih 1,500 golongan yang kurang bernasib baik melibatkan institusi kebajikan terpilih menerima manfaat daripada Program Harmoni yang dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sarawak sempena Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, program tersebut merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Kembara Perpaduan seperti mana yang diumumkan dalam Belanjawan 2023.

“Selari dengan agenda membangun Malaysia Madani, program ini adalah satu ikhtiar dalam menjamin keharmonian dan perpaduan rakyat.

“Selain itu, ia juga bertujuan menyebarluas mesej toleransi dalam usaha mengekalkan keamanan dan kesejahteraan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kata beliau, dengan bertemakan Malaysia Madani dalam kepelbagaian agama, program yang berlangsung di seluruh negara bermula dari 18 hingga 26 Februari itu telah memberi manfaat kepada lebih 1,500 golongan kurang bernasib dari institusi kebajikan terpilih.

“Program ini turut menerima penglibatan pelbagai pihak dalam aktiviti kesukarelawanan termasuk agensi kerajaan, pemimpin tempatan, komuniti, pelajar Institut Pendidikan Tinggi, pelajar sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

“Di Negeri Sarawak, sebanyak 260 kotak Rahmah telah diagihkan kepada warga emas pelbagai agama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aaron berharap agar program kerjasama strategik antara kementerian dan penglibatan NGO pelbagai kaum ini dapat diperluas memandangkan ia dapat memberikan sumbangan kepada komuniti setempat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI