fbpx

Peminat, pengumpul mula fikir panjang beli barangan mewah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMINAT dan pengumpul mula berkira-kira untuk membeli barangan berjenama mewah apabila bakal dikenakan cukai oleh kerajaan.

GEORGE TOWN – Peminat dan pengumpul barangan mewah kini mula berfikir panjang untuk membeli produk berjenama keluaran import berikutan kerajaan bakal melaksa­nakan cukai terhadapnya mulai tahun ini.

Rata-rata yang ditemui Kosmo! Ahad semalam mengatakan, mereka terpaksa ‘menguburkan’ impian untuk mengenakan atau menyarung barangan ‘branded’ bagi mengelak menanggung pembayaran cukai yang tinggi dengan hanya satu pembelian produk berjenama kelak.

Seorang peminat barangan mewah, Ng Peh Kuen, 37, berkata, dia terpaksa menyimpan hasrat untuk tidak lagi berjoli sakan bermula saat ini sebaik penguatkuasaan pengenalan cukai tersebut dilaksankan.

Akuinya, ini secara tidak langsung dapat menjimatkan wang daripada berbelanja di luar kawalan sekali gus mampu mendisiplinkan diri termasuk para peminat tegar barangan ‘branded’.

“Saya sambut baik pelaksa­naan cukai barangan mewah yang diperkenalkan kerajaan dan sekurang-kurangnya saya tidak lagi bersikap boros ketika ber­belanja.

“Memang kena fikir panjang selepas ini untuk membeli kasut, beg dan jam tangan berjenama. Kebiasaannya, setiap kali gaji atau dua bulan sekali memang akan ‘reward’ untuk diri sendiri, hasil penat bekerja,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Ujar eksekutif sebuah syarikat swasta itu lagi, dirinya kelihatan lebih yakin dengan memilih me­ngenakan fesyen atau produk barangan mewah luar negara dan sanggup berhabisan sehingga lebih RM20,000 bagi satu pembelian jam atau beg tangan kurang tempoh setengah tahun.

Sementara itu, seorang lagi peminat barangan mewah, Andriana Rashid, 39, pula memberitahu, krisis ekonomi yang berlaku ketika ini telah memaksanya beralih kepada pembelian produk beg tangan mewah secara ‘preloved’ atau terpakai.

“Saya ada kenalan dengan beberapa pemilik dan pengumpul beg tangan mewah. Mereka kerap berulang alik ke luar negara untuk membeli beg tangan termasuk yang ditempah penggemar di sini.

“Kebanyakan mereka akan menggunakannya kurang tempoh dua tahun dan menjualnya semula secara bundle serta ansuran pada harga serendah RM2,000 berbanding harga asal mencecah sehingga RM4,000 setiap satu,” ujarnya.

Dakwa akauntan itu lagi, membeli barangan mewah terpakai sekurang-kurangnya dikecua­likan daripada membayar cukai yang tinggi.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2023 mengumumkan pelaksanaan cukai barangan mewah dengan had nilai tertentu mengikut jenis barang mewah mulai tahun ini.

Katanya, pengenalan cukai tersebut termasuklah ke atas pembelian jam tangan serta barangan fesyen mewah adalah sebagai langkah baharu meluaskan asas cukai kepada mereka yang punyai kemampuan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI