PETALING JAYA – Seorang pelanggan meluahkan kekecewaan apabila berhadapan dengan seorang pemandu e-hailing yang didakwa bertindak kurang ajar kerana enggan memberi kerjasama.
Menerusi perkongsian Amin Nurazmi di Twitter miliknya, dia memaparkan dua tangkap layar perbulannya bersama individu terbabit dan ingin membatalkan tempahan kerana kerana tidak mahu menunggu lama.
Berdasarkan tangkap layar itu, pemandu tersebut turut meminta Amin untuk memandu sendiri sekiranya ingin cepat.
“Hi, nak tunggu ke? Saya tengah makan, cik la ‘cancel’ (batal) tempahan lagipun saya letak pinggan di meja. Sama ada nak tunggu atau buat tempahan baharu.
“Kalau nak cepat ‘drive’ (pandu) sendiri cik. Saya ni manusia bukan robot,” ujar pemandu terbabit.
Sehubungan itu, Amin mengakui tidak berpuas hati menerima layanan yang disifatkan sebagai kurang ajar.
“Pemandu e-hailing kurang ajar, dah ‘accept’ (terima) tempahan, tetapi tengah makan. Suruh dia ‘cancel’ (batal) dia tak nak.
“Lepastu tu loyar buruk. Dah buat aduan di syarikat berkenaan tetapi macam biasa. Cakap akan ambil tindakan namun tak nak kongsi hasil tindakan,” katanya bersama hantaran tersebut.
Dalam pada itu, dia turut memuat naik maklum balas yang diterima daripada syarikat terbabit mengatakan dia dibenarkan untuk membatalkan tempahan tanpa dikenakan sebarang caj.
Bagaimanapun, Amin memberitahu, dia sengaja membiarkan tempahan tersebut kerana ingin berjumpa dengan pemandu terbabit.
“Saya saja tak nak batalkan. Nak tengok dia berani tak jumpa depan. Hujung-hujung dia (pemandu) batalkan tempahan. Ada yang pernah jumpa pemandu macam ini?,” soalnya.
Meskipun begitu, tinjauan Kosmo! di ruang komen mendapati orang ramai tidak menyalahkan pemandu itu sebaliknya mempersoalkan sistem yang digunakan pakai syarikat perkhidmatan berkenaan.
“Ramai salahkan pemandu tetapi dengan sistem harga baharu ini, kesian pada pemandu. kadang-kadang lokasi ‘pickup’ (ambil) terlalu jauh dan juga ia ‘auto accept’ (terima tempahan automatik),” kata Wan.
“Untuk kes sebegini, ada dua pihak yang memang akan terluka. Yang buat e-hailing akan faham situasi pemandu. Situasi pelanggan pula, akan sakit hati bila kena macam ini. Maka pihak yang mempunyai kuasa tolong lakukan sesuatu,” ujar seorang pengguna. – KOSMO! ONLINE