LONDON – Pengurus Newcastle United, Eddie Howe tidak rela pulang dengan tangan kosong menjelang perlawanan akhir Piala Liga England (EFL) di Wembley tengah malam ini.
Justeru, beliau menggesa supaya semua pemain memberikan segala-galanya bagi memastikan The Magpies muncul juara, sekali gus memberikan keceriaan kepada penyokong.
Howe berkata, para penyokong sudah menunggu lama untuk menyaksikan pasukan itu menjulang trofi selepas kali terakhir melakukannya ketika muncul juara Piala FA 1955.
“Jika dapat merealisasikan impian itu, ia akan menjadi kenangan paling indah dalam hidup saya. Namun, apa yang penting adalah kami mahu lakukannya demi penyokong setia.
“Mereka sudah menunggu terlalu lama untuk peluang seperti ini. Penyokong-penyokong Newcastle sangat sayangkan pasukan ini, jadi saya harap kami boleh bawa pulang trofi ke St. James Park,” katanya.
Bekas pengendali Bournemouth itu turut menegaskan, pemain-pemainnya langsung tidak terkesan dengan tekanan aksi final, sebaliknya mereka menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk menampilkan aksi terbaik.
“Saya tidak fikir pemain tertekan dengan perlawanan ini kerana saya dapat lihat dari raut wajah, mereka sangat bermotivasi kerana sudah terlalu lama Newcastle tidak menyentuh trofi,” ujar Howe. – AGENSI