KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Sivil di sini, menetapkan 7 April ini bagi keputusan kes saman pelanggaran kontrak membabitkan syarikat produksi A.Aida Production Sdn. Bhd. dengan pelakon Amelia Henderson.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Ashmadi Othman yang mewakili syarikat penerbitan itu selaku plaintif ketika dihubungi hari ini selepas prosiding secara dalam talian di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan Jumaat lalu.
“Tarikh keputusan telah ditetapkan pada 7 April ini. Prosiding akan dijalankan secara Zoom (dalam talian),” kata peguam Ashmadi.
Sementara itu, peguam, Wan Nurliyana Abdul Rahman yang mewakili Amelia selaku defendan ketika dihubungi turut mengesahkan perkara tersebut.
Untuk rekod sepanjang perbicaraan yang bermula 1 November tahun lalu, seramai tiga saksi daripada plantif termasuk A.Aida atau nama sebenarnya Datuk Zaidah Awang, 53, dan tiga saksi defendan termasuk Amelia sendiri hadir untuk memberi keterangan.
Semasa perbicaraan seorang pengurus syarikat produksi memberitahu bahawa A.Aida Production Sdn. Bhd. terpaksa menanggung kerugian akibat pelanggaran perjanjian yang dilakukan Amelia.
Sementara Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson, 28 tetap dengan pendirian menafikan melanggar kontrak ketika dia menerima tawaran dan membintangi drama berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali.
Sebelum ini media melaporkan Amelia dan pelakon Idris Khan berdepan dengan tindakan saman daripada A. Aida kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani sebelum ini.
A. Aida bersama sutradara drama, Sekali Lagi Cinta Kembali iaitu Rizal Baharuddin, sepakat membawa perkara tersebut ke muka pengadilan sekaligus memberi pengajaran kepada dua pelakon terbabit.
Bagaimanapun, saman melibatkan A.Aida dan Idris Khan berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah sementara Amelia memilih untuk melawan kes saman itu. – KOSMO! ONLINE