PETALING JAYA – Berkat jualan makanan Menu Rahmah yang berharga RM5, seorang peniaga mengakui jualannya mencanak naik selepas inisiatif kerajaan itu diuar-uarkan sejak 31 Januari lalu.
Menerusi hantaran di Facebook Kamal Hero Malaya yang juga penjual Nasi Sambal Geprek di Batu Caves, Selangor, dia mengakui penjualannya sangat berbeza berbanding dahulu.
“Hasil Menu Rahmah. Mencanak penjualannya. Belum cukup bulan lagi tetapi gaji pekerja dah boleh kira dan cukup semuanya. Kalau tidak, sebelum ini 1 haribulan baru nak kira.
“Rupanya dalam Rahmah itu ada sedekah.. rahsia Allah yang kita tidak tahu. Terima kasih Kerajaan Perpaduan,” tulisnya.
Tambahnya, pekerja-pekerja sehingga mengadu tidak ‘cukup tangan’ kerana ramai pelanggan yang membeli Menu Rahmah.
Di ruangan komen, tinjauan Kosmo! mendapati ramai yang memuji inisiatif pihak kerajaan dan peniaga yang sudi bersama-sama meringankan beban mereka memerlukan.
“Keuntungan kecil tetapi masih untung dengan jumlah jualan meningkat. Itulah model bisnes terbaik,” komen Zuwairi.
“Menu rahmah ini adalah satu daya tarikan untuk pelanggan datang, pelanggan bukan hanya makan Menu Rahmah, bahkan akan ada yang pesan menu tambahan. Itulah keunikkannya,” komen Deen pula. – KOSMO! ONLINE