fbpx

‘Jangan berhutang kasih sayang dengan anak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUA anak Hafidz dan Shuhada iaitu Humairah (kanan) serta Umar tidak seharusnya dijadikan mangsa dalam perceraian pasangan itu.

DUNIA hiburan tanah air masih lagi dibelenggu masalah rumah tangga membabitkan beberapa pelaku seni. Masih lagi dalam episod perkahwinan dilanda badai disebabkan ‘campur tangan’ orang ketiga.

Minggu ini, termometer persada seni tempatan dibahangkan dengan keruntuhan ikatan perkahwinan antara pelakon Muhammad Hafidz Roshdi atau nama pentasnya, Hafidz Roshdi yang telah menceraikan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri menerusi panggilan telefon bersaksikan keluarga lain.

Cerai panggilan telefon

Perihal mendukacitakan tersebut didedahkan adik ipar kepada pelakon drama rantaian, Melastik Ke Hatimu itu yang hanya ingin dikenali sebagai Sofia kepada Pose pada Khamis lalu.

“Hafidz lafazkan cerai talak satu melalui panggilan telefon pada Rabu. Ketika itu, dia berada di Shah Alam, Selangor dan kakak bersama kami di Perlis.

“Keputusan untuk bercerai itu telah dicapai oleh seluruh ahli keluarga. Kakak saya akan failkan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Kuala Lumpur, insya-Allah.

“Sekarang masih di peringkat perbincangan dengan peguam untuk tarikh perbicaraan dan proses lain,” katanya.

SELEPAS berdolak-dalih tentang rumah tangganya bersama Shuhada, Hafidz akhirnya melepaskan wanita itu yang dikahwininya sejak 2016 dengan cerai talak satu.

Kisah rumah tangga Hafidz dan isteri memberi pengajaran bahawa apa pun yang berlaku, janganlah dinafikan satu perkara penting iaitu kebajikan anak-anak perlu menjadi keutamaan selepas ini.

‘Jodoh’ dengan anak tak berubah

Andai benar dan sudah tertulis jodoh mereka tidak panjang, namun peranan sebagai ibu bapa kepada dua anak, Humairah dan Umar tidak akan pernah berubah meskipun tidak lagi tinggal sebumbung selepas ini.

Hal ini kerana bukan mudah buat anak kecil membesar dalam keluarga yang berpecah-belah. Kalau itu berlaku, ada dua kemungkinan. Sama ada anak kecil itu berdikari menjadi manusia berguna atau bermasalah kerana ‘terpenjara’ disebabkan kesilapan orang dewasa.

Memang tidak dapat disangkal, pasangan berkahwin mana yang mahukan perceraian? Itu juga barangkali dirasai Hafidz dan Shuhada.

Namun, dengan segala kebobrokan yang berlaku melibatkan orang ketiga bernama Athira Yuhada, hanya mereka yang terlibat dalam konflik tersebut tahu perihal lebih mendalam.

“Terima kasih Ya Allah. Semoga berbaliklah segala kebaikan untuk semua yang mendoakan Shu dan anak-anak,” demikian perkongsian rasa hati yang dimuat naik Shuhada dalam Instagram.

Kesihatan mental

Terdahulu, pihak ketiga, Athira ada menjelaskan bahawa dia memohon maaf kepada Shuhada sekeluarga atas apa yang berlaku.

Katanya, selama sembilan tahun dia mencuba yang terbaik untuk tidak ‘melayan’ Hafidz, namun bersimpati dengan apa yang berlaku kepada pelakon itu sehingga memberi kesan terhadap kesihatan mentalnya.

ATHIRA Yuhada, wanita yang didakwa menjadi orang ketiga dalam rumah tangga Hafidz sudah membuat permohonan maaf kepada Shuhada atas perbuatannya.

“Saya telah mencuba sehabis baik untuk mengelak percubaan Hafidz mendekati saya. Akhirnya, konflik ini berlaku selepas mengetahui tentang kondisi kesihatan mental dilaluinya.

“Itu membuatkan saya bersimpati dan ingin memberikan sokongan terhadap kesihatannya. Tapi, saya tegaskan apa yang berlaku antara saya dengan Hafidz sudah lama berakhir,” getus Athira.

Apa pun yang berlaku soal ‘dalam kelambu’ melibatkan Hafidz dan Shuhada, sekali lagi ingin diingatkan di sini, anak-anak membesar dalam broken family perlu perhatian dan kasih sayang selayaknya. Jangan dinafikan perkara tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI