YAN – Hidup empat beranak di Kampung Tengah, Sungai Yan di sini, diselubungi kebimbangan apabila rumah yang didiami mereka boleh runtuh bila-bila masa sahaja akibat hakisan tanah sejak sebulan lalu.
Kesan hakisan itu semakin ketara apabila bahagian bilik serta dapur yang terletak di tebing sungai telah senget kerana tiang telah berganjak, sekali gus menyebabkan papan dinding dan papan lantai tercabut.
Siti Mariam berkata, dia terpaksa menjadikan ruang tamu sebagai tempat memasak dan tidur selain melarang tiga orang anak berusia 2 hingga 8 tahun bermain di situ bagi mengelak mereka terjatuh ke dalam sungai.
“Buat masa sekarang saya hanya mampu berdoa agar kami sekeluarga tidak ditimpa bencana kerana saya tidak mampu untuk menyewa rumah lain,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Siti Mariam kini terpaksa bekerja sebagai pembantu kedai makan bersebelahan rumahnya dengan gaji antara RM10 ke RM20 sehari.
“Duit upah hanya cukup untuk makan minum seharian kami sekeluarga. Saya tidak mahu menyusahkan keluarga mentua dengan menumpang di rumah mereka, lagi pun ramai adik ipar tinggal di situ,” ujarnya.
Menurutnya, dia telah beberapa kali membuat permohonan untuk menduduki rumah di Desa Keda Sungai Udang, namun sehingga kini tidak diketahui status tersebut.
“Saya juga telah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban dalam membesarkan anak-anak.
“Saya berharap ada pihak yang sudi tampil membantu kami terutama membaik pulih rumah supaya dapat didiami dalam keadaan lebih selesa dan selamat,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Siti Mariam di talian 016-9606 785 atau menyalurkan sumbangan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya 0299-5411-0032-5337.