PETALING JAYA – Sebuah beg tangan jenama butik terkemuka mencuri perhatian pengguna media sosial yang mendakwa rekaannya saling tidak tumpah seperti karung guni bawang.
Menerusi video yang dimuat naik oleh @freakayaisfreak di akaun TikToknya, kelihatan beg tangan tersebut di pamerkan di sebuah butik tempatan dengan harga bernilai RM263.
“Ini bukan biasa kita jumpa dekat pasar borong ke? Biasa satu guni RM3. Apa sudah jadi dengan industri fesyen kita ni?
“Kalau pergi beli kat pasar borong ni, beli tiga dapat RM10 tau,” katanya di dalam video tersebut.
Sehingga kini video tersebut telah meraih 1.1 juta tontonan, 101,300 tanda suka dan 1,847 perkongsian.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen ramai pengguna yang terhibur melihat video tersebut dan ada juga berniat untuk menjadikan guni bawang yang dibeli sebagai beg tangan selepas ini.
“Jangan lepas ini harga bawang dengan kentang naik harga pula gara-gara beg ini,” komen Eydah.
“Aku selalu beli bawang guni, kalau aku tahu aku jual je lepas dah guna. Mesti dah kaya aku sekarang sebab jual guni bawang,” komen Fatin pula. – KOSMO! ONLINE