fbpx

Bajet 2023: Kerajaan sokong transformasi pendidikan tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) yakin peruntukan yang diumumkan dalam Bajet 2023 kelmarin adalah tanda sokongan kerajaan terhadap transformasi pengajian tinggi negara.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerima peruntukan lebih tinggi iaitu peningkatan 5.7 peratus menerusi Belanjawan 2023 berbanding tahun sebelumnya.

KPT menerusi kenyataan akhbar berkata, kementerian itu menerima RM15.3 bilion iaitu RM11.7 bilion bagi Perbelanjaan Mengurus dan RM3.6 bilion bagi Perbelanjaan Pembangunan.

Menurutnya, Perbelanjaan Pembangunan KPT juga telah menunjukkan peningkatan sebanyak 22.9 peratus (RM671 juta).

“KPT menyambut baik dan menyokong Belanjawan 2023 yang dibentangkan sekali gus menunjukkan komitmen tinggi kerajaan menyokong transformasi pendidikan tinggi negara.

“Justeru, fokus KPT tahun ini adalah untuk menambah baik fasiliti Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) bagi memastikan infrastruktur, bangunan dan peralatan di IPTA berada dalam keadaan yang kondusif, selamat serta berfungsi dengan efisien,” katanya semalam.

Katanya, sebanyak RM436 juta dikhususkan bagi membaik pulih infrastruktur dan menggantikan peralatan usang yang tidak lagi ekonomik di IPTA.

Dalam pada itu, katanya, KPT juga akan memberi tumpuan terhadap agenda pendigitalan untuk manfaat penyelidik, ahli akademik dan pelajar-pelajar di IPT menerusi dana RM35 juta.

“Usaha pendigitalan diharap dapat memperluas akses pembelajaran berkualiti yang inovatif, fleksibel dan bertaraf global kepada semua pemegang taruh tanpa mengira lokasi.

“KPT juga akan memperkasa agenda penyelidikan dalam menjadikan Malaysia sebagai pusat ilmu unggul melalui peruntukan RM428 juta yang diperuntukan kepada KPT dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi,” jelasnya.

Antara inisiatif lain diumumkan semalam termasuk diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama tiga bulan bermula 1 Mac 2023 sehingga 20 peratus.

Selain itu, permohonan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh enam bulan boleh dibuat mulai 1 Mac 2023.

Turut diperkenalkan termasuk kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) peneraju untuk mengambil alih sebahagian atau sepenuhnya operasi institusi TVET seperti kolej komuniti bagi menyediakan program latihan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI