“DISEBABKAN teman lelaki, hidup saya musnah apabila terlibat dalam penyalahgunaan dadah,” itulah kata-kata yang terukir di bibir seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Mawar.
Menurut mawar, dia mengenali dadah melalui teman lelakinya, sebelum sama-sama terjebak dalam dunia ‘gelap’ itu.
Malah, dia telah dua kali masuk ke pusat pemulihan bagi mengatasi masalah tersebut.
Mawar berkata, dia mula terjebak dengan najis dadah selepas menjejakkan kaki ke menara gading.
“Saya mengenali teman lelaki saya di universiti.
“Sebelum mengenalinya, saya seorang gadis yang baik dan tidak pernah melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan diri,” katanya.
Setelah mengenali teman lelakinya itu, dia juga mula menjadi liar dan sering menghabiskan masa di kelab malam bersama rakan-rakan lain.
Bukan itu sahaja, dia juga sering terlanjur dengan teman lelakinya.
Mawar berkata, dia mengetahui teman lelakinya mengambil dadah ketika mereka berada di hotel.
“Teman lelaki saya membawa bersama dadah jenis syabu dan dia mengajak saya untuk mencubanya.
“Dia beritahu, jika saya ambil dadah itu, kami akan mendapat lebih keseronokan ketika melakukan hubungan seks,” jelasnya.
Disebabkan rasa ingin tahu, Mawar mengambil dadah tersebut hasil tunjuk ajar teman lelakinya itu.
Mawar mengakui, selepas itu, dia mula ketagih dan sering mengambil dadah itu bersama teman lelakinya.
Setelah terlibat dalam masalah itu dan menjadi penagih tegar, kehidupan Mawar semakin tidak terurus.
Dia juga pernah mencuri barang kemas milik ibunya bagi mendapatkan wang membeli dadah tersebut.
“Lama-kelamaan saya semakin hanyut dan ketagihan yang melampau.
“Bukan itu sahaja, saya pernah menggadai maruah diri kepada lelaki lain semata-mata untuk mendapatkan bekalan dadah,” katanya yang kini berusia hujung 20-an.
Dalam pada itu, Mawar berkata, keluarganya berjaya menghidu penglibatannya dalam penyalahgunaan dadah.
Dia memaklumkan, mereka mengetahuinya setelah melihat perubahan ditunjukkan oleh Mawar yang sentiasa kelihatan tidak terurus, sering marah-marah dan berhalusinasi.
Rentetan itu, Mawar juga terpaksa menamatkan pengajiannya kerana keputusan peperiksaan yang teruk.
“Akhirnya, ayah mengambil keputusan untuk menghantar saya ke pusat pemulihan bagi memulihkan ketagihan terhadap dadah.
“Pada mulanya, saya tidak mahu tetapi terpaksa akur dan mengikuti program pemulihan berkenaan,” katanya.
Malangnya, setelah keluar dari pusat pemulihan, Mawar kembali menagih syabu kerana masih menjalin hubungan dengan teman lelaki itu.
Pada ketika itu, keluarganya merasakan Mawar telah pulih sepenuhnya daripada masalah dadah, tetapi dalam diam Mawar masih meneruskan tabiat lamanya.
Akhirnya, keluarga Mawar mengetahui bahawa dia masih terlibat dengan penagihan setelah menjumpai dadah dan alat menghisap bahan itu di dalam biliknya.
“Ayah mengamuk ketika itu selepas tahu saya kembali menagih dadah kerana masih menjalin hubungan dengan teman lelaki.
“Ayah sendiri pergi bertemu dengan teman lelaki saya dan memintanya supaya menjauhkan diri daripada saya jika tidak mahu berdepan sebarang masalah,” jelasnya.
Selepas itu, keluarga Mawar menghantarnya sekali lagi ke pusat pemulihan bagi memulihkan diri.
Kini, Mawar mengakui, dia telah pulih sepenuhnya daripada masalah penagihan dadah dan dikawal ketat oleh keluarganya.
“Saya betul-betul ingin berubah. Saya juga berjanji tidak akan mengambil benda terlarang itu lagi selepas ini,” katanya.