BAGAN SERAI – Tindakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, memberi peruntukan sama rata ķepada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk pembangkang disifatkan sebagai pemimpin berwibawa.
ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, ia menandakan beliau adalah profesional sebagai seorang pemimpin negeri dan memahami masalah yang dihadapi rakyat di Perak.
“Walaupun jumlah peruntukan yang diberi kecil, namun sedikit sebanyak dapat membantu pembangunan berskala kecil dan ADUN kawasan dapat menjaga kebajikan rakyat di kawasannya.
“Sikap itu wajar untuk dicontohi pemimpin-pemimpin lain termasuk Perdana Menteri agar kebajikan rakyat terpelihara,” katanya selepas menyampaikan sumbangan bantuan kembali ke sekolah di Pusat Khidmat Dun Kuala Kurau disini, hari ini.
Menerusi program tersebut katanya, seramai 165 orang murid dan pelajar dari 17 buah Sekolah Menengah, Sekolah Kebangsaan, Sekolah Cina dan Tamil menerima bantuan melalui kerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)Kerian. – KOSMO! ONLINE