PETALING JAYA – “Masa saya di Madinah, dia (Shuhada) ada DM saya melalui media sosial (Instagram).”
Demikian pengakuan Puteri Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin memberi bimbingan dan nasihat guaman kepada bekas isteri Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada.
Jelas Sarah lagi, Shuhada meminta dia mendoakan agar urusan kehidupan dan rumah tangganya diberikan petunjuk ketika berada di Tanah Suci mengerjakan umrah.
“Dia DM dan ceritakan masalahnya. Shuhada meminta saya untuk mendoakannya.
“Dia juga bertanya, apa langkah yang patut diambil sebab dia memang tak tahu apa patut dilakukan,” katanya kepada Kosmo! Online usai majlis pertunjukan fesyen jenama terkemuka, Cosry di ibu negara, sebentar tadi.
Bagaimanapun ujar Sarah yang bakal muncul dengan drama rantaian terbaharu, Andai Itu Takdirnya menafikan bahawa rumah tangga Shuhada dan Hafidz berakhir disebabkan dirinya mempengaruhi wanita itu.
“Ada yang cakap saya ajar benda yang salah. Saya cuma mengajar macam mana nak menghadapi pihak ketiga.
“Apa tindakan yang perlu dibuat (dari segi undang-undang) kepada pihak ketiga. Apa yang berlaku kepada kehidupan Shuhada dan Hafidz tiada kena-mengena dengan saya.
“Saya cakap pada Shuhada, buat apa yang dia nak buat. Jangan buat kerana orang lain suruh.
“Apa yang hati dia (Shuhada) cakap pada dia. Shuhada pun cakap pada saya yang dia dah tak boleh nak tahan dan tak tahu nak buat apa.
“Saya kasihan. Saya sebagai wanita yang mengalami nasib sama faham penderitaannya. Pada saya, kalau menderita, ambil tindakanlah, bukan?
“Tapi, terpulang kepada dia sama ada nak stay (bertahan) atau tidak,” jelas ibu kepada dua orang cahaya mata itu.
Terdahulu, Sarah mengakui memberi bimbingan kepada Shuhada atau nama sebenarnya, Nurul Shuhada Mat Shukri apa yang perlu dilakukan sewaktu rumah tangga wanita itu dilanda badai disebabkan orang ketiga.
Sarah, 37, berkata menerusi TikTok, dia lega dapat membuka jalan membimbing wanita lain supaya terus kuat berdepan masalah rumah tangga.
“Ketika saya di Madinah, dia ada hubungi dan tanya macam mana dan minta saya beri tunjuk ajar. Tapi saya tak nak beritahulah.
“Dia minta bimbingan daripada saya dan minta doakan untuk dia ketika saya di Madinah dan Mekah hari itu. Memang saya tolong dia, saya bimbing dia langkah demi langkah apa nak buat.
“Laporan polis semua, pergi jabatan agama, saya yang bimbing dia,” katanya.
Media melaporkan Hafidz, 29, didakwa sudah menceraikan Nurul Shuhada dengan talak satu bersaksikan keluarga.
Nurul Shuhada juga akan ke mahkamah pada 1 Mac ini untuk pengesahan lafaz cerai tersebut. – KOSMO! ONLINE