PETALING JAYA – Empat individu termasuk seorang lelaki dipercayai menyamar sebagai anggota polis ditahan selepas melarikan sebuah kenderaan yang dipandu uji di sebuah pusat jualan kenderaan di Jalan Ampang pada 15 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku apabila seorang jurujual berusia 26 tahun didatangi suspek lelaki yang ingin memandu uji sebuah kenderaan jenis Honda Civic FK8 Type R berwarna hitam.
Katanya, suspek datang dengan menaiki sebuah kenderaan Perodua Myvi berwarna putih dengan dipandu oleh seorang lagi individu lain.
“Pengadu mendapati pelanggan tersebut memakai uniform lengkap seperti seorang anggota polis.
“Pada 12 tengah hari, ketika memandu uji kenderaan, suspek meminta pengadu membelikan tambah nilai kad prabayar telefon di sebuah stesen minyak di Pandan Jaya sebelum melarikan kereta terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Farouk berkata, pada 18 Februari lalu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya telah melakukan beberapa siri tangkapan terhadap empat individu tersebut termasuk seorang wanita berusia 30 hingga 40 tahun di Selayang, Selangor, Alor Star dan Jitra, Kedah.
“Pemeriksaan lanjut mendapati dua suspek merupakan penganggur, seorang adalah pekerja bengkel dan seorang lagi penjaja makanan.
Tambahnya, Modus operandi suspek ialah menyamar sebagai anggota polis dan melakukan curi kenderaan dengan mempedaya jurujual untuk keluar dari kenderaan sebelum melarikan kenderaan tersebut, selain suspek mencuri kenderaan untuk tujuan menjual.
Jelasnya, kerugian dianggarkan bernilai RM270,000.
“Pihak polis turut merampas sebuah kereta Myvi, kereta Honda KH8 serta kunci dan peralatan kenderaan yang dibuka, sepasang uniform operasi polis, beberapa telefon bimbit dan peralatan lain untuk membantu siasatan,” katanya.
Ujarnya, kesemua ditahan direman selama empat hari bermula hari ini dan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu curi kenderaan – KOSMO! ONLINE